Lif rosak, APM bantu turunkan tiga sekeluarga
KLEBANG 31 Oktober – Angkara lif pangsapuri yang disewa rosak, tiga sekeluarga terpaksa meminta bantuan sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk membawa mereka turun ke parkir kereta, dalam kejadian di Klebang, petang semalam.
Pegawai Operasi Pejabat Daerah Angkatan Pertahanan Awam (PDPA) Melaka Tengah, Lt (PA) Mohd Kamil Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas terbabit pada jam 5 petang sebelum sepasukan anggotanya ke lokasi kejadian.
Menurutnya, bantuan itu diminta susulan lelaki terbabit yang berusia 68 tahun adalah orang kurang upaya (OKU) kudung kedua-dua kaki manakala isteri dan mentuanya pula menghidap penyakit jantung dan asma kronik menyebabkan mereka tidak dapat turun melalui tangga untuk ke parkir kereta yang terletak di tingkat lima.
“Susulan itu 13 anggota termasuk pegawai kemudian ke pangsapuri terbabit bagi membantu menurunkan mangsa yang dikatakan menyewa di sebuah inap desa di tingkat 18.
“Kerja-kerja menurunkan kesemua mereka dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingin berlaku memandangkan mereka mempunyai masalah kesihatan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya difahamkan keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dan ke Melaka untuk bercuti bersama keluarga yang lain.
“Kami dimaklumkan mereka ketika itu hendak turun dan pergi ke Stadium Hang Jebat kerana ada ahli keluarga mereka yang sertai program larian dan ketika ingin turun lif pangsapuri terbabit mengalami kerosakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.