Liga Melaka: Bachanglona FC, Rizq FC buat perhitungan di pentas akhir

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PAYA RUMPUT 22 Julai – Bachanglona FC dan Rizq FC akan membuat perhitungan bagi merebut piala Liga Melaka 2022 Divisyen 3 pada perlawanan akhir yang akan berlangsung Ahad ini.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) merangkap Pengerusi Liga Melaka 2022 Datuk Khairi Anuar Ahmad berkata, pertembungan dua pasukan itu akan berlangsung di Stadium Hang Tuah.

Katanya, kedua-dua pasukan itu merupakan pasukan yang membuat kemunculan pertama dalam aksi Liga Melaka dan berjaya menewaskan enam pasukan lain dalam Divisyen 3 mengikut kumpulan.

“Kita harapkan dalam pentas akhir Divisyen 3 Liga Melaka 2022 ini akan menjadi acara kemuncak dalam mengetengahkan pemain-pemain berbakat yang bakal menjadi pelapis kepada sukan bola sepak negeri ini.

“Lebih dua tahun tanpa penganjuran Liga Melaka, dan kali ini Liga Melaka kembali berprestij menerusi pembabitan bekas pemain-pemain kebangsaan dan pemain baharu.

“Kita janjikan saingan-saingan yang terbaik dalam perlawanan Liga Melaka 2022 Divisyen 3 ini meskipun baru pertama kali menjejak kaki ke liga berprestij ini,” katanya ketika ditemui di Wisma MUSA hari ini.

KHAIRI Anuar

Sementara itu, Kapten Pasukan Bachanglona FC, Khairil Izra Riwayat memberi jaminan pasukannya akan memberi yang terbaik dalam perlawanan akhir itu nanti.

“Berbaki kurang dua hari lagi, hanya latihan kecergasan serta memastikan tiada kecederaan dalam kalangan pemain sahaja yang penting, dan kami yakin dapat menandingi pasukan lawan di atas padang nanti,” katanya.

Kapten Pasukan Rizq FC Saiful Azwan Dahlan turut menyuarakan azam yang sama dalam menampilkan aksi berbeza berbanding sebelum ini.

Dia yang juga bekas pemain Melaka edisi 2016 bersama rakan sepasukan yang lain sudah bersedia sebelum pandemik COVID-19 lagi dan sememangnya mengimpikan untuk menjulang Piala Liga Melaka 2022 itu.

“Dari segi persiapan, kita sudah bersedia lebih 100 peratus dengan gabungan pemain lama dan baharu, kita yakin dapat menyaingi pasukan Bachanglona FC dalam pertembungan di pentas akhir Liga Melaka 2022 Divisyen 3 Ahad ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1535
Kongsi :
Previous post Aduan bersifat umum sukarkan siasatan KPDNHEP – Nanta
Next post Reman wanita bunuh suami, rakan subahat disambung enam hari lagi
Ubah saiz-+=