Sorting by

×

Lima individu ‘kantoi’ berparti dan ‘lalok’ dadah

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KOTA LAKSAMANA 14 Sept – Keseronokan enam individu berparti liar di sebuah rumah inap desa di Taman Kota Shahbandar terbantut apabila lima daripada mereka dicekup polis kerana positif dadah, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, rumah terbabit diserbu polis pada jam 12 tengah hari.

Katanya, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah hasil maklumat kegiatan tidak bermoral itu.

INAP desa disewa tiga pasangan untuk berparti liar. Foto -PDRM.

“Dalam serbuan itu polis menahan enam individu berusia antara 21 hingga 26 tahun.

“Polis juga merampas pelbagai peralatan termasuk alat karaoke dipercayai digunakan bagi tujuan penganjuran aktiviti ‘private party’ itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek menginap di rumah tiga tingkat itu secara berpasangan.

“Siasatan juga mendapati mereka menyewa kediaman itu selama dua malam bermula Sabtu lalu dengan bayaran sewa RM400 semalaman,” katanya.

Mengulas lanjut, Raiz Mukhliz berkata, ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati lima daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lima suspek hari ini manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Menurutnya keenam-enam individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001 yang membawa kepada kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dengan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda RM3,000.

Jelasnya, semua individu berkenaan juga turut dikenakan kompaun RM2,000 seorang mengikut Perkara 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Berjangkit 2021 kerana menjalankan kegiatan ‘private party’.

“Lima daripada individu yang positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam penganjuran atau menghadiri aktiviti parti liar terutama ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

“Berdasarkan rekod, IPD Melaka Tengah menjalankan 19 serbuan di tempat hiburan sekitar daerah dari Januari hingga Ogos lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

749
Kongsi :
Previous post Lelaki 102 tahun antara 13 korban COVID-19
Next post Usul pemilihan timbalan speaker antara fokus Dewan Rakyat hari ini
Ubah saiz-+=