Lima jam alih lori terbabas di lampu isyarat MOZAC
AYER KEROH 9 Disember – Sebuah lori yang membawa muatan gelung besi terbabas di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata siasatan awal mendapati lori berkenaan dalam perjalanan dari kilang CSC Steel Sdn Bhd menghala ke Ayer Keroh untuk menghantar gelung besi ke syarikat perindustrian di Rawang dalam kejadian pada jam 4.45 petang.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian lori berkenaan yang mahu membelok ke simpang kanan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbalik dan melintang di tengah persimpangan lampu isyarat terbabit.
“Pemandu lori berusia 38 tahun bagaimanapun tidak cedera dan kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain atau harta benda awam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kemalangan itu mengakibatkan berlaku sedikit kesesakan jalan di kawasan itu namun anggota trafik mengawal kesesakan terbabit.
“Kenderaan berat itu selesai dialihkan kira-kira jam 9.45 malam dan dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.