Lima lelaki disyaki curi perkasas rumah inap desa diberkas

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 14 Julai – Lima lelaki yang berpura-pura menyewa inap desa di Kuala Sungai Baru sebelum mencuri peralatan dalam rumah berkenaan, ditahan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.45 malam 10 Julai lalu daripada lelaki pemilik inap desa itu.

Katanya, pemilik inap desa berusia 48 tahun itu memaklumkan berlaku kecurian perkakas inap desanya termasuk peti ais, mesin basuh dan penapis air dianggarkan bernilai RM1,500.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

“Berikutan itu, polis menahan lima suspek berusia 17 hingga 33 tahun di sebuah rumah di Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru pada jam 12.20 tengah, malam kelmarin.

“Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan dadah dan ketika serbuan polis menemukan beberapa paket dipercayai dadah jenis syabu daripada seorang daripada suspek.

“Peralatan yang hilang bagaimanapun berjaya ditemui semula,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan lanjut mendapati semua suspek berpura-pura menyewa inap desa terbabit selama tiga hari dua malam.

 

DADAH jenis syabu ditemui pada seorang daripada lima suspek yang ditahan.

“Selepas mendapat kunci, suspek memaklumkan kepada pemilik bahawa barang-barang dalam homestay tiada dengan anggapan bahawa homestay tersebut telah dipecah masuk.

“Suspek kemudian akan membatalkan sewaan serta melarikan diri dan pemilik premis menyedari kehilangan itu tiga jam kemudian,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman bermula hari ini hingga Jumaat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

699
Kongsi :
Previous post Mayat lelaki dalam rumah berkunci
Next post MOVAK: Penduduk empat kawasan di Melaka bakal terima vaksin secara bergerak
Ubah saiz-+=