Lima menara bakal tingkat kualiti 5G DUN Asahan

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

ASAHAN 4 April – Pembinaan lima menara telekomunikasi baharu sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, antara inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan jalur lebar 5G lebih pantas dan berkualiti kepada penduduk di kawasan kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, lima menara berkenaan dirancang dibina tahun ini selepas diluluskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, inisiatif dilaksanakan menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) itu membolehkan penduduk sekitar DUN Asahan menikmati capaian jalur lebar dengan kelajuan lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Tahun ini DUN Asahan akan menerima lima lagi menara telekomunikasi baharu dan difahamkan ia sudah diluluskan oleh SKMM sebelum memasuki peringkat seterusnya dan diserahkan kepada syarikat telekomunikasi yang terlibat, syukur atas perkhabaran gembira ini.

“Sebelum ini banyak lokasi di DUN Asahan mengalami gangguan telekomunikasi yang agak serius, tetapi kerajaan mendengar keluhan rakyat dengan segera melaksanakan inisiatif ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, menara telekomunikasi berhampiran Kampung Orang Asli Gapam Baru yang sudah siap dibina dijangka mula beroperasi Jun ini.

Fairul Nizam berkata, kemudahan itu sudah diserahkan kepada syarikat telekomunikasi berkenaan pada Februari dan difahamkan ketika ini kerja-kerja teknikal termasuk pemasangan kabel fiber optik sedang giat dijalankan sebelum talian diaktifkan.

“Mengikut kebiasaan kemudahan menara ini sudah boleh memulakan operasi dalam tempoh empat bulan diserahkan kepada pengendali telco.

“Saya berharap apabila talian menara telekomunikasi ini diaktifkan kelak ia akan memberi manfaat kepada penduduk setempat dalam melakukan aktiviti harian, sekali gus meningkatkan taraf hidup setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

76
Kongsi :
Previous post Pencen Perkeso bantu ringankan beban ibu tunggal besarkan anak
Next post 8,339 golongan miskin, fakir terima bantuan zakat
Ubah saiz-+=