Lima warga Nigeria ‘cari makan’ edar dadah, ‘Love Scam’ ditahan

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 25 Mac – Lima individu termasuk dua wanita warga asing ditahan di empat lokasi berasingan awal pagi semalam kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan penipuan ‘Love Scam’.

Suspek warga Nigeria berusia antara 23 hingga 44 tahun ditahan hasil serbuan di tiga pangsapuri di Taman Bukit Beruang Bestari dan sebuah rumah di Taman Bukit Melaka antara jam 5 hingga 10 pagi.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti mencurigakan di salah sebuah unit pangsapuri di Taman Bukit Beruang Bestari itu sejak sebulan lalu.

“Hasil serbuan di semua empat premis berkenaan kami merampas pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk melakukan penipuan ‘Love Scam’ dan pengedaran dadah dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM5,000.

“Antara barang yang dirampas berkaitan penipuan termasuk 12 telefon bimbit; tujuh dokumen palsu; komputer riba (6); modem wifi (5);sijil palsu (3); pemacu kilat (2) dan buku mengandungi skrip untuk menipu mangsa (1) serta cek palsu (1).

“Dalam serbuan itu, kami turut merampas satu ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 0.6 kilogram (kg); tujuh paket dadah (0.034 kg); satu paket dadah jenis ketamin (0.002 kg) dan botol dipercayai digunakan untuk menghisap dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSK), Superintendan E Sundra Rajah dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Deputi Superintendan Mohd Akmal Abdullah.

Mengulas lanjut, Razali berkata, bilangan mangsa diperdaya dan nilai kerugian menerusi ‘Love Scam’ itu bagaimanapun masih dalam siasatan.

Jelasnya suspek dipercayai menjerat mangsa wanita menggunakan gambar samaran kacak dan skrip kata-kata manis yang sudah disiapkan.

“Polis turut percaya rampasan dadah yang ditemui itu digunakan untuk untuk kegunaan sendiri dan dijual kepada pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS) sekitar Ayer Keroh,” katanya.

Razali berkata, siasatan lanjut turut mendapati semua suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai menetap di semua premis berkenaan sejak enam bulan lalu.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati dua suspek wanita dan seorang suspek lelaki lingkungan usia 30-an didapati positif dadah.

“Semua suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga tertumpas kumpulan sindiket terbabit dan tidak menolak kemungkinan akan menjalankan tangkapan susulan dalam masa terdekat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1050
Kongsi :
Previous post Balai Polis Lubok China akan dipindahkan
Next post Tun Mohd Ali akan dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan oleh USM
Ubah saiz-+=