Liputan gentian optik dijangka diperluaskan 98 peratus di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER LIMAU 2 April – Telekom Malaysia Berhad (TM) menyasarkan kemudahan capaian gentian optik akan diperluaskan sebanyak 98 peratus bagi keseluruhan negeri Melaka tahun ini.

Pengurus Besar TM Melaka, Datuk Rozlan Mohamed berkata, setakat ini capaian itu telah meliputi 95 peratus di seluruh negeri ini terutama dalam kawasan luar bandar.

Menurutnya pihaknya akan memastikan capaian jaringan internet menggunakan gentian kaca akan diperluaskan ke setiap kawasan perumahan di negeri ini.

Jelasnya, kebanyakan kawasan perumahan termasuk di kawasan luar bandar telah diliputi dengan pemasangan gentian optik malah hasrat itu telah membuka 60 peratus kuota kepada kediaman yang memerlukan pemasangan internet di rumah.

“Setakat ini sebanyak 40 peratus kediaman telah menerima manfaat ini dan kita masih merancang lagi untuk mengembangkan gentian optik terutama di kawasan-kawasan kampung dan kita yakin status capaian gentian ini di Melaka adalah antara negeri yang terbaik berbanding di negeri-negeri lain.

“Apa yang kita lihat capaian bagi masyarakat luar bandar amat penting kerana mereka juga memerlukan internet malah hasrat ini menjadi fokus utama kita lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri kini mengaplikasikan semua cara secara di atas talian seperti penggunaan kod QR, masyarakat tanpa tunai, sistem parkir atas talian jadi kita usaha ke arah itu.

“Malah kita akan sentiasa bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan hasrat Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035) dapat dicapai dengan pelaksanaan Melaka Digital dan Zon Ekonomi Pesisir Pantai (MWEZ) pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Program Cahaya Ramadan di sebuah gudang pakaian di Masjid Tanah, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Terdahulu dalam program l itu seramai 30 anak yatim Dun Ayer Limau diraikan dengan program pembelian pakaian hari raya bagi sebagai persedian menjelang Syawal ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3305
Kongsi :
Previous post NIOSH sasar 30 premis di wilayah selatan sertai program WINA
Next post Ab Rauf mula tugas sebagai Ketua Menteri
Ubah saiz-+=