Lokasi, fasiliti dan harga tarikan Scientex Bandar Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

JASIN 22 Januari – Kedudukannya yang strategik dan harga berpatutan antara penarik kepada pembeli kediaman di Scientex Bandar Jasin.

Pesara kerajaan Hasan Hamad, 70, berkata dia memilih untuk membeli rumah di kawasan terbabit kerana harga ditawarkan adalah berbaloi selain lokasinya yang tidak jauh dari Bandaraya Melaka.

“Lokasi di Scientex Bandar Jasin ini strategik, bukan berada di hulu atau tempat terasing dan dengan pembangunan lebih 20,000 rumah di sini lokasi ini akan menjadi lebih maju pada masa akan datang.

“Rumah ini dibeli untuk masa tua, lebih selesa. Pemaju turut menjanjikan akan membina kemudahan atau fasiliti apabila perumahan ini dibuka sepenuhnya kelak,” katanya yang ditemani isteri, Aminah Kadir, 66.

Nada sama turut disuarakan pekerja makmal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Mohd Syazerin Soberi, 40, bercadang membeli rumah bagi memudahkan urusan dia dan isteri ke tempat kerja.

Katanya, rumah adalah pelaburan jangka panjang dan sebelum membeli dia sudah mengkaji serta memastikan Scientex Bandar Jasin adalah lokasi yang jauh dari kawasan bencana banjir.

“Selain itu, lokasi perumahan ini strategik tidak jauh dari pusat bandar dan pemaju juga menyediakan kemudahan asas seperti surau dan akan datang akan ada lebih banyak lagi kemudahan disediakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut juruaudit, Tan Ker Ian, 24, berkata dia tertarik untuk membuat tempahan rumah yang baharu dilancarkan iaitu rumah kluster dua tingkat untuk menjamin perancangan masa hadapan.

“Saya beli rumah ini kerana saiznya yang besar dan luas, saya mahu membawa ahli keluarga untuk tinggal bersama apabila ia siap dalam tempoh dua tahun lagi.

“Pada saya, lokasi yang strategik kerana berhampiran dengan Muar, Johor dan tidak jauh ke Bandaraya Melaka menjadikan lokasi rumah ini ditengah-tengah.

“Apabila menyebut kawasan strategik, aspek saya lihat merangkumi fasiliti seperti sekolah, pusat bandar, pasaraya selain tidak jauh dari tempat kerja,” katanya yang tinggal di Muar dan bekerja di Melaka.

Kesemua bakal pembeli ditemui selepas Majlis Pelancaran Rumah Kluster Dua Tingkat di Scientex Bandar Jasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

876
Kongsi :
Previous post 188 unit rumah kluster dua tingkat bermula RM340,000
Next post 600 jemaah hadir solat subuh di Banda Hilir
Ubah saiz-+=