Lonjak minat pelajar kuasai STEM
BANDARAYA MELAKA 26 Disember – Misi memperkasa pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) perlu dilaksanakan dengan lebih meluas.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, STEM merupakan salah satu bidang penting dalam memastikan Malaysia berada dalam landasan tepat membentuk sebuah negara maju.
Lantaran itu katanya, semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan bidang itu mampu menarik minat pelajar dan seterusnya melonjak pencapaian pelajar ke tahap lebih tinggi
“Adalah menjadi harapan saya agar program STEM ini menjadi satu titik tolak kepada jaringan dan jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri Melaka melalui Jabatan Pendidikan negeri bersama Petronas dan pihak-pihak yang lain untuk kita bersama melonjak pencapaian pendidikan Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Melaka Future Talent (MFT) yang dianjurkan Petronas dan anak syarikatnya Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB) di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Jamsari Mariman dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB), Ahmad Farid Yaacob.
Pada program itu, seramai 220 pelajar tingkatan empat dari 11 buah sekolah seluruh Negeri Melaka telah mengambil bahagian dalam penganjuran berkenaan.
Antara 11 sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Udang, SMK Kampung Gelam, SMK Sri Tanjung, SMK Kem Terendak, SMK Bukit Rambai, SMA JAIM AL-Ahmadi, SMK Padang Temu, SMK Malik, SMK Tun Tijah, SMK Hang Kasturi dan SMK Dato’ Abdul Rahman Ya’kub.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif impak sosial Petronas di bawah Program Memperkasakan Ilmu, bagi membangunkan dan memupuk bakat serta minat pelajar dalam
bidang STEM dan juga Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Melalui program tersebut, pelajar terlibat didedahkan dengan motivasi serta pendedahan untuk memilih subjek STEM dan seterusnya menggalakkan mereka untuk kekal mempelajari subjek STEM sehingga peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Antara aktiviti yang dijalankan adalah forum bual bicara ‘Fokus Kerjaya Anda & Persediaan Kendiri SPM’, perkongsian daripada unit Penajaan Pendidikan PETRONAS dan institusi pengajian tinggi di Melaka, ‘Sembang Santai Kerjaya’ oleh sukarelawan Petronas serta aktiviti berkumpulan.
Sementara itu, Ahmad Farid berkata, program yang dianjurkan itu sekali gus mampu mendedahkan pelajar kepentingan mata pelajaran STEM dan peluang kerjaya yang ada pada masa hadapan.
“Kami berharap semoga pelajar-pelajar dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya dan berkongsi ilmu yang dipelajari dengan pelajar-pelajar lain di sekolah masing-masing.
“Program ini secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi pelajar dalam usaha membentuk sahsiah diri dan kemenjadian peribadi pelajar yang lebih cemerlang dan terbilang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.