LPM SIAPKAN 4 RUMAH TRANSIT TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

TABOH NANING 9 November – Lembaga Perumahan Melaka (LPM) berjaya menyiapkan empat Rumah Transit mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini.

Pengarah Eksekutif LPM, Datuk TPr. Murad Husin berkata, program itu adalah inisiatif Kerajaan Melaka bagi menyediakan kediaman sementara buat mereka yang terjejas akibat bencana dan lain-lain kecemasan dengan sasaran ‘1 DUN 1 Rumah Transit’.

“Bagi meluaskan lagi manfaat program Rumah Transit ini, Kerajaan Negeri Melaka melalui LPM memperkenalkan inisiatif 1 DUN 1 Rumah Transit agar lebih ramai golongan yang memerlukan mendapat manfaat dan faedah yang sewajarnya.

“Pada masa kini terdapat empat unit Rumah Transit DUN yang telah siap dibina dan diserahkan kepada pihak JAPERUN untuk digunakan bagi mangsa yang memerlukan pertolongan tempat untuk berlindung.

“Rumah Transit DUN yang telah siap dibina melibatkan DUN Tanjung Bidara, Paya Rumput, Merlimau, Duyong dan Taboh Naning,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Transit Taboh Naning di JAPERUN Taboh Naning, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Menurut TPr. Murad, pembinaan Rumah Transit itu melibatkan kos RM70,000 seunit dan turut dilengkapi dengan barangan perabot asas.

“Rumah Transit di bawah insiatif 1 DUN 1 Rumah Transit ini dibina oleh pihak LPM ini melibatkan rumah jenis sesebuah yang berkeluasan lantai 800 kaki persegi,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri melalui LPM turut meneruskan kesinambungan pelaksanaan Program Melaka Rumahku yang merupakan skim bantuan pembinaan rumah baharu secara percuma yang ditawarkan kepada mereka yang amat memerlukan melibatkan mangsa bencana, kebakaran serta rumah yang terlalu usang dan tidak selamat untuk dihuni.

Untuk rekod, rumah transit yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Melaka melalui LPM merupakan rumah penginapan sementara kepada pemohon yang ditimpa musibah seperti bencana kebakaran, ribut dan lain-lain kecemasan.

Bagi meluaskan lagi manfaat program itu, Kerajaan Negeri melalui LPM memperkenalkan inisiatif 1 DUN 1 Rumah Transit yang dimulakan di DUN Tanjung Bidara pada tahun lepas bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan mendapat manfaat perlindungan dan tempat berteduh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

110
Kongsi :
Previous post GOVERNOR CUP, PIALA TOH PUAN 2024 HANGATKAN KALENDER SUKAN HUJUNG TAHUN
Next post FORMULA MAIM BIMBING ASNAF BERKESAN
Ubah saiz-+=