Lumpuh selepas jatuh bangunan, Mohd Zikri bangkit pecah tiga rekod kebangsaan

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

DUNIANYA pernah gelap seketika selepas terjatuh dari tingkat dua bangunan sebuah asrama sekolah di Negeri Sembilan pada 2014 sehingga menyebabkan tulang belakangnya patah dan disahkan lumpuh separuh badan.

Daripada seorang insan normal, Mohd Zikri Zakaria terpaksa akur bergelar orang kurang upaya (OKU) dan terpaksa bergantung harap kepada kerusi roda.

Namun selepas hujan, rupanya ada pelangi. Siapa sangka dunianya kembali terang apabila mula menjinakkan diri dalam bidang sukan selepas keluar dari hospital pada 2015.

Malah, dia hanya mengambil masa setahun sahaja untuk meraih pingat emas pertamanya pada Kejohanan Sukan Paralimpiad Malaysia Ke-18, Sarawak pada 2016.

Berkat kerja kerasnya, selain sokongan ahli keluarga, Mohd Zikri kini bergelar pemecah rekod kebangsaan dalam tiga acara sukan iaitu lontar peluru, lempar cakera dan merejam lembing.

Dia yang mewakili Melaka temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022, November lalu turut dinobat olahragawan terbaik apabila berjaya memecahkan tiga rekod temasya sukan dwitahunan itu.

Menceritakan kisahnya bergelar seorang atlet, Mohd Zikri yang membesar di Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkata, sejak di bangku sekolah dia sudah mula cenderung dalam bidang sukan apabila mewakili sekolah dalam acara bola tampar.

Bertitik tolak daripada itulah membawanya terjun ke sukan berbentuk balingan dan lontaran selepas bergelar insan OKU.

“Saya pilih sukan ini sebab saya sudah ada asas dalam sukan yang menggunakan kekuatan tangan. Jadi dari situlah saya pilih sukan ‘throw’ dan alhamdulillah ia membantu saya ke tahap yang ada sekarang,” katanya yang turut memenangi pingat emas pada Kejohanan Para ASEAN Solo, Indonesia, pada Ogos lalu.

3
ZIKRI mengibarkan bendera Melaka selepas berjaya memecah tiga rekod dalam acara lontar peluru, lempar cakera dan merejam lembing.

Mohd Zikri berkata, selepas meraih pelbagai kejuaraan dalam negara dan di peringkat Asia Tenggara, tumpuannya kini terarah kepada misi untuk bergelar juara dunia.

Justeru, katanya, dia akan memberi sepenuh tumpuan pada Kejohanan Dunia di Paris yang dijangka pada Julai 2023, selain turut akan beraksi di Kejohanan Para Asia Kemboja pada Mei 2023.

“Saya tidak pernah dapat apa-apa kejuaraan di pentas Asia dan dunia, jadi saya harap 2023 akan membawa tuah untuk saya meraih kejayaan itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Zikri turut menitipkan pesanan kepada OKU di luar sana agar jangan pernah malu dengan kekurangan diri, sebaliknya perlu bangkit membuktikan mereka juga boleh berjaya seperti insan biasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1786
Kongsi :
Previous post Pengunjung Kampung Machap Umboo berpeluang menang hadiah
Next post Waris mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali terima pencen penakat
Ubah saiz-+=