Lupa diri berhibur rai tahun baru, RM1,000 melayang

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

MELAKA 1 Jan – Keseronokan ambang tahun baharu bertukar sesalan apabila hampir 80 pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan KPKS 7, Taman Kota Syahbandar masing-masing dikenakan kompaun RM1,000.

Ia susulan kealpaan semua pengunjung pusat hiburan itu yang tidak mengamalkan penjarakan sosial dan berhibur dalam keadaan kesesakan meskipun sudah hampir dua tahun kerajaan menguar-uarkan peringatan mengenai prosedur operasi standard (SOP) itu.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati tingkat dua premis berkenaan sesak dengan pengunjung sehingga menyukarkan pergerakan keluar masuk.

LELAKI berusia 23 tahun yang dikenakan kompaun

Semua pengunjung premis berkenaan ditahan dalam Op Ambang Tahun Baru dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis seramai 32 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bermula jam 10 malam hingga 4 pagi.

Operasi berkenaan turut dibantu sembilan pegawai penguatkuasaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan dua kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Seorang lelaki berusia 23 tahun ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) berkata, dia pada mulanya menyertai enam rakan lain untuk menyambut tahun baharu di pusat berkenaan namun memberi alasan terlupa untuk mematuhi SOP.

“Datang ke sini memang hendak menyambut tahun baharu dan tiba kira-kira jam 10 malam namun tidak menyangka orang semakin ramai macam ni,” katanya yang berasal dari Bemban, Jasin.

REMAJA berusia 16 tahun yang turut dikenakan kompaun

Seorang lagi remaja bawah berusia 16 tahun yang menetap di daerah sama berkata, dia teruja untuk menyambut tahun baharu kerana hampir dua tahun tidak meraikannya bersama rakan.

Lebih mengejutkan, remaja terbabit turut mengaku ada mengambil minuman keras di premis terbabit.

“Emak tahu saya keluar rumah hendak sambut tahun baharu namun kompaun itu saya akan cari duit sendiri bayar,” katanya.

Difahamkan, premis berkenaan pernah diserbu pada sambutan tahun baru sebelum ini namun pemiliknya berusia 35 tahun masih culas dengan amaran itu.

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit (dua dari kiri) bersama pegawai dan anggota dalam Op Ambang Tahun Baru di sekitar Melaka.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya masih menjalankan proses mengeluarkan kompaun dan ujian saringan air kencing terhadap semua pengunjung premis.

Katanya, difahamkan setakat ini hampir 80 pengunjung berada di premis berkenaan berhibur tanpa mengamalkan penjarakan sosial.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

888
Kongsi :
Previous post Paras air Sungai Melaka di tahap bahaya pagi ini
Next post Banjir: Dua pusat pemindahan dibuka, 96 mangsa di Melaka setakat 8 pagi
Ubah saiz-+=