Sorting by

×

MAFI tambah RM62 juta untuk insentif racun kepada pesawah

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PASIR PUTEH, 23 Jan – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah memperuntukkan sejumlah RM62 juta untuk insentif racun kepada pesawah tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata peruntukan itu merupakan tambahan RM100 kepada insentif RM200 yang diterima pesawah sebelum ini sekali gus memanfaatkan lebih 300,000 pesawah.

“Petani yang dahulu diberi RM200 untuk satu hektar sebagai insentif, sekarang ini ditambah RM100 lagi menjadi RM300 untuk satu hektar.

“Industri padi dan beras memang dijaga oleh kerajaan, dari segi insentif yang diberi kerajaan tidak dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Logo Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Ladang Merdeka Jelor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keluhan petani khususnya pesawah yang mendakwa kenaikan harga racun memberi tekanan kepada mereka yang akan memulakan musim tanaman padi tahun ini.

Pada majlis tersebut Ronald turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KADA dengan Syarikat Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) bagi pelaksanaan Projek Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang merupakan satu daripada program peningkatan hasil padi negara di ladang berkenaan.

Mengulas mengenai Projek SMART SBB, Ronald berkata projek tersebut merupakan kerjasama pintar awam dan swasta untuk membangunkan kawasan penanaman padi secara berperingkat di Semenanjung.

“Pendekatan ini adalah sebagaimana yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.

“Jalinan kerjasama pintar dan strategik awam dan swasta ini telah bermula sejak Februari tahun lepas dan setakat ini terdapat penyertaan 18 syarikat peneraju yang telah menandatangani MOU dengan kerajaan menyasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1929
Kongsi :
Previous post Berpolitik jangan sampai ganggu tugas hakiki – PM
Next post Jangan sebar tidak rasmi berhubung kesihatan Tun M – Annuar
Ubah saiz-+=