Sorting by

×

MAHA 2022 dapat sambutan luar biasa, catat 1.4 juta pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

SERDANG, 14 Ogos – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang menutup tirai hari ini, mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran melebihi 1.4 juta pengunjung dan nilai jualan melangkau RM260 juta, melepasi sasaran yang ditetapkan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata MAHA kali ini adalah yang terbesar dari segi jumlah pengunjung mahupun nilai jualan, selepas kali terakhir dianjurkan empat tahun lepas dan sepatutnya diadakan pada 2020 namun ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

“Jumlah pengunjung MAHA 2022 yang dicatatkan melebihi 1.4 juta iaitu 1.2 juta pengunjung secara fizikal dan 266,000 pengunjung secara maya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan MAHA 2022 di Taman Expo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Beliau berkata pameran pertanian itu telah merekodkan nilai jualan keseluruhan tertinggi iaitu RM260 juta merangkumi jualan langsung, jualan dalam talian serta padanan perniagaan melibatkan lapan syarikat pemasar dari luar negara.

“Secara keseluruhan MAHA yang diadakan sejak 4 Ogos lepas telah menampilkan 22 segmen khusus untuk mengangkat sektor agromakanan sebagai antara sektor yang berpotensi untuk diceburi seluruh lapisan masyarakat.

“Ini apatah lagi, MAHA 2022 dianjurkan pada ambang bermulanya pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0),” katanya menambah pameran pertanian itu turut memberi peluang kepada peniaga kecil menjual produk mereka selepas berdepan kesukaran dari segi pemasaran berikutan pandemik COVID-19.

Beliau berkata pelbagai pengisian dan program berjaya dianjurkan dengan menampilkan pelbagai inovasi moden dalam sektor agromakanan berasaskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) sekali gus menyuntik semangat keusahawanan khususnya dalam kalangan belia.

Ronald berkata penganjuran MAHA 2022 juga menyaksikan pemeteraian 33 perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan pengusaha antarabangsa dan tempatan dengan nilai pelaburan lebih RM5.64 bilion.

“Saya berharap segala bentuk kerjasama yang telah dimeterai ini dapat direalisasikan supaya ia dapat menyumbang kepada pembangunan sektor agromakanan negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Program Jamin Kerja dalam segmen Agro Job Fair telah menawarkan lebih 15,000 peluang kerjaya khususnya kepada golongan muda dan siswazah dalam sektor agromakanan.

Katanya sebagai pameran pertanian mega di peringkat kebangsaan, setiap kali penganjurannya diberikan pembaharuan dan sehubungan itu, MAHA 2024 akan dianjurkan dengan memperluaskan penyertaan kepada lebih ramai pempamer dan rakan strategik dari luar negara.

Beliau berkata ini selari dengan usaha kementerian memantapkan kolaborasi antarabangsa bagi memperkukuh rantaian nilai eksport dan meningkatkan pertumbuhan pasaran, selain menambah baik akses pasaran luar negara bagi pengeluar makanan tempatan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1832
Kongsi :
Previous post Provokasi gol minit akhir punca pergaduhan penyokong di Stadium Hang Jebat
Next post 60 lokasi di Duyong akan dipasang lampu solar
Ubah saiz-+=