Provokasi gol minit akhir punca pergaduhan penyokong di Stadium Hang Jebat

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

BELUM pun reda insiden kekecohan di Stadium Sultan Muhammad IV akibat pergaduhan penyokong, isu sama turut terpalit di Stadium Hang Jebat pada aksi Melaka United menentang Sri Pahang, malam tadi.

Berdasarkan rakaman sebuah video tular dilihat kelibat seorang penyokong telah memanjat pembahagi stadium sebelum berlaku kekasaran ke atas penyokong lain.

Menurut Pengurus Pasukan Melaka United Muhammad Akram Abdullah, insiden pergaduhan itu dipercayai tercetus akibat provokasi penyokong kedua-dua pasukan.

Jelasnya, insiden itu berlaku pada penghujung permainan yang menyaksikan Melaka dan Sri Pahang terikat 2-2, namun ia tidak berlarutan dan berjaya diselesaikan dengan bantuan petugas keselamatan.

“Punca pergaduhan adalah provokasi yang dicetuskan penyokong kedua-dua pasukan sejurus jaringan pada minit-minit akhir perlawanan.

“Nasihat saya kepada semua penyokong sentiasa menjaga adab dan tingkah laku serta saling hormat menghormati di antara satu sama lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru peminat bola sepak agar menghentikan apa jua bentuk keganasan dalam sukan nombor satu negara itu.

“Bola sepak adalah sukan yang boleh menyatukan kita semua. Biarlah pasukan yang bersaing di atas padang, di luar padang kita tetap bersatu sebagai penyokong yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2346
Kongsi :
Previous post RTM jadi penyiar rasmi Piala Dunia 2022 Qatar
Next post MAHA 2022 dapat sambutan luar biasa, catat 1.4 juta pengunjung
Ubah saiz-+=