MAIM sedia pelbagai program bantu 8,569 asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BANDAR MELAKA 22 Ogos – Pelbagai program dan inisiatif telah disediakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam usaha membantu golongan asnaf di negeri ini.

Timbalan Pengerusinya Datuk Md Rawi Mahmud berkata, setakat Julai tahun ini, seramai 8,569 orang penerima bantuan telah direkodkan di Melaka merangkumi 219 orang fakir, 8,145 asnaf miskin dan 205 asnaf mualaf.

Jelasnya, antara bentuk program yang disediakan termasuklah bantuan perniagaan, kursus keusahawanan, hub pengeluaran produk usahawan dan tajaan gerai asnaf di Karnival Usahawan.

“Dalam konteks kebajikan, MAIM sentiasa memperkasa keprihatinan kepada permasalahan asnaf dan sentiasa mengutamakan kebajikan asnaf dan pembangunan golongan ini dalam program pembasmian kemiskinan.

“Sepanjang tahun 2018/2019, MAIM telah memberi fokus utama bagi memastikan pengagihan wang zakat mampu membasmi kemiskinan tegar menerusi program-program keusahawanan iaitu membabitkan peruntukan sebanyak RM1 juta pada 2019 dan RM320,000 pada 2018 untuk membangunkan ekonomi asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian dan Mesyuarat Agung Koperasi Usahawan Asnaf Melaka Berhad di Auditorium Masjid Al Azim, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak MAIM juga akan terus komited menjalankan kerjasama bersama agensi-agensi lain seperti SME Corp, MARA, FAMA dan MARDI dalam mencapai matlamat bersama iaitu membantu meningkatkan ekonomi asnaf negeri ini.

Katanya lagi, pihaknya juga sedia meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi memastikan pengagihan zakat dapat dilaksana secara tuntas kepada golongan yang layak.

Views:

546
Kongsi :
Previous post Melaka jadi negeri pertama tubuh Koperasi Usahawan Asnaf
Next post Melaka United lancar logo baharu
Ubah saiz-+=