Melaka jadi negeri pertama tubuh Koperasi Usahawan Asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDAR MELAKA 22 Ogos – Melaka muncul negeri pertama dalam Malaysia yang menubuhkan Koperasi Usahawan Asnaf bertujuan menjadi pemangkin meningkatkan taraf hidup golongan asnaf.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, pihak kerajaan negeri berbangga dengan penubuhan itu dan akan sentiasa menyokong serta memberi galakan dalam usaha baik ke arah membantu golongan asnaf keluar dari garis kemiskinan.

Jelasnya, koperasi yang ditubuhkan hasil usahasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka dan Persatuan Usahawan Asnaf Negeri Melaka itu membabitkan keahlian 90 peratus golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf dan 10 peratus lagi ahli bersekutu.

“Alhamdulillah hari ini kita dapat tubuhkan Koperasi Usahawan Asnaf Melaka Berhad khusus untuk membantu golongan asnaf di negeri ini. Ia merupakan koperasi pertama seumpamanya ada di Malaysia bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi asnaf menerusi keahlian koperasi.

“Saya berharap koperasi ini dapat dijaga dengan baik dan ahli-ahlinya sentiasa bermuafakat untuk lebih maju di masa akan datang. Saya percaya jika ada permasalahan, agensi-agensi seperti SKM dan MAIM sedia untuk membantu.

“Pada masa sama, saya juga menggalakkan asnaf-asnaf yang ada di luar sana untuk bersama menyertai koperasi ini, bukan sahaja untuk memberi pandangan dan idea perniagaan baharu, bahkan saya berharap ia dapat jadi pemangkin untuk mereka berjaya membebaskan diri dari belenggu kemiskinan dan seterusnya menjadi pembayar zakat di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui usai Majlis Perasmian dan Mesyuarat Agung Koperasi Usahawan Asnaf Melaka Berhad di Auditorium Masjid Al Azim, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Maim Datuk Md Rawi Mahmud, Setiausaha MAIM Muhammad Ikram Ibrahim, Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM Zazali Haron dan Pengarah SKM Melaka Mohd Firdaus Shaari.

Dalam majlis itu, Sulaiman yang juga Pengerusi MAIM turut mengumumkan tajaan berjumlah RM15,000 kepada 50 orang usahawan asnaf sebagai caruman di koperasi berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan harapan agar koperasi berkenaan akan lebih berjaya di masa akan datang, sekali gus menjadi Melaka negeri contoh dalam membantu mengubah taraf hidup golongan asnaf.

“Memang besar harapan kita untuk melihat Melaka menjadi suri tauladan kepada negeri-negeri lain menerusi penubuhan koperasi usahawan asnaf ini.

“Yang lebih penting, sesiapa sahaja yang menjadi ahli dan menerajui koperasi ini dapat sentiasa memastikan ia terus maju, aktif dan mampu berdaya saing dengan koperasi-koperasi lain,” ujarnya.

Views:

856
Kongsi :
Previous post KM santuni masyarakat India di Bukit Katil
Next post MAIM sedia pelbagai program bantu 8,569 asnaf
Ubah saiz-+=