Majoriti subsektor pelancongan gigit jari akibat COVID-19- MTA

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 5 Feb. – Majoriti subsektor pelancongan Melaka kehilangan punca pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bagi mengekang penularan COVID-19 yang semakin serius.

Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madelina Kuah berkata, perkara itu disebabkan hampir keseluruhan sektor itu diarah tidak beroperasi sehinggakan menjejaskan hasil jualan yang diterima berbanding sebelum ini.

Menurutnya, hanya sub-sektor pelancongan pemakanan dan kesihatan sahaja yang mampu beroperasi dalam tempoh pandemik ini, namun hanya 30 hingga 50 peratus saja masih bertahan dan beroperasi di sekitar kawasan tumpuan pelancongan di negeri ini.

Presiden MTA, Madelina Kuah.

“Kita akur keadaan ini begitu sukar buat pemain industri pelancongan termasuk pengusaha hotel kerana ada yang kehilangan punca pendapatan sehinggakan tidak mampu menampung jumlah pekerja yang ada.

“Biarpun terpaksa ditutup ramai pemain industri meluahkan keluhan disebabkan terpaksa membayar setiap caj pengurusan termasuk sewa dan gaji pekerja.

“Jadi kita harapkan ada inisiatif diperuntukkan buat pemain industri pelancongan di Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, pelbagai strategi perlu dirangka termasuk strategi pemasaran maya bagi mempromosi sektor pelancongan Melaka yang terjejas.

“Medium atas talian perlu dimanfaatkan bagi memperkenalkan pelbagai pakej pelancongan menarik di Melaka bagi menarik kehadiran pelancong sebaik PKP 2.0 berakhir.

“Pendekatan ‘Buy Now, Travel later’ misalnya perlu diuar-uarkan oleh setiap pemain industri dengan mengiklankan pakej menarik di media sosial masing-masing,” katanya.

Views:

414
Kongsi :
Previous post PKP 2.0 : Melaka rayu kerajaan beri kelonggaran subsektor pelancongan sukan beroperasi
Next post Polis sambung reman seminggu lagi terhadap pasangan suami isteri
Ubah saiz-+=