Majukan industri pelancongan agama – KM

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Okt. – Kerajaan negeri mahu Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bekerjasama memajukan industri pelancongan agama sebagai industri pelancongan ke-14 di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, selain Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Kampung Balik Batu, di sini yang memiliki pelbagai kelengkapan berkaitan astronomi, pelbagai aspek lain berkaitan agama yang mempunyai kesan sejarah harus dimajukan.

“Melaka mempunyai sejarah kedatangan Islam dari Hadramaut yang alim ulamanya meninggal dunia di sini dan makam mereka berada di sini dan ia boleh dijadikan daya tarikan untuk mereka yang mencintai ulama.

“Selain itu, kitab karangan mereka juga boleh dipamerkan bagi memajukan industri pelancongan agama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Galeri Interaktif Planetarium Al-Khawarizmi di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini semalam.

Beliau mencadangkan supaya segala aspek berkaitan ulama nusantara turut dikumpulkan untuk dipamerkan sebagai daya tarikan pelancong. Galeri berkenaan menggunakan teknologi ‘Virtual Reality’ (VR) dan ‘Augmented Reality’ (AR) bagi memberikan pengalaman berada dalam dunia astonomi sebenar kepada pengunjung.

Hadir sama, Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim.

Jabatan Mufti Melaka yang mentadbir kompleks berkenaan bekerjasama dengan UTeM bagi menyediakan teknologi berkenaan.

Sulaiman berkata, pihak pengurusan kompleks berkenaan harus memanfaatkan kelebihan yang ada pada galeri itu untuk menarik lebih ramai pengunjung, terutama mereka yang
mencintai bidang astronomi.

Katanya, pelajar sekolah juga harus ditarik untuk mengunjungi galeri berkenaan kerana ia adalah satu-satunya galeri yang memiliki teknologi VR dan AR di negeri ini.

Views:

719
Kongsi :
Previous post Gelombang ketiga COVID-19, hotel di Melaka rangka strategi baharu
Next post Warga emas rentung cuba selamatkan anjing
Ubah saiz-+=