Malaysia kekal pendirian sokong Palestin

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PAYA RUMPUT 15 Oktober –  Malaysia kekal menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin meskipun wujud ancaman bom di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ancaman itu diterima susulan kelantangan negara membantah kekejaman rejim zionis Israel ketika ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan sentiasa berjaga-jaga dan semua rakyat dinasihatkan tidak perlu gentar dengan ugutan berkenaan.

“Pihak polis telah menyatakan bom itu merupakan ancaman yang sengaja dibuat, cuma kita perlu berjaga-jaga dan tidak perlu khuatir pun.

“Mengikut kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, kita tidak perlu gentar pun dengan apa sahaja ancaman,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan pejabat UMNO Bahagian Tangga Batu di sini pada Ahad.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merangkap Pengerusi UMNO negeri, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin merangkap Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan kenamaan ternama.

Semalam, seorang lelaki warga asing disyaki membuat panggilan telefon mendakwa meletakkan bom di pusat beli belah The Mall Mid Valley Southkey dan St Giles Hotel Southkey dengan amaran supaya berhenti menyokong Palestin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat kemudian mengesahkan ancaman berkenaan adalah palsu.

Hasil pemeriksaan oleh unit pemusnah bom dan anjing pengesan K9 hingga pukul 11.30 malam, tiada sebarang objek yang mencurigakan dikesan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan telah mengumumkan pelbagai bantuan termasuk RM10 juta yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini sebagai tanda solidariti bersama Palestin.

“Selain daripada bantuan RM1 juta yang telah diberikan selepas ucapan saya, Perdana Menteri umum pula tambahan RM 10 juta dan akan menyelaraskan kutipan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan orang ramai sebanyak RM 100 juta untuk Palestin,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3301
Kongsi :
Previous post Perkenal kursus baharu TVET berkaitan EV dan solar – TPM
Next post Diskriminasi tempat kerja, bahas Belanjawan 2024 antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Ubah saiz-+=