Perkenal kursus baharu TVET berkaitan EV dan solar – TPM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PAYA RUMPUT 15 Oktober – Kursus baharu membabitkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional  (TVET) berkaitan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga solar akan diperkenalkan terutama di Melaka bagi memenuhi permintaan pasaran tenaga kerja yang semakin meningkat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah memperkenalkan kursus itu susulan Melaka mendapat permintaan tinggi daripada pelabur untuk tenaga boleh baharu (renewable energy).

Katanya, ia juga selari dengan dasar Kerajaan Negeri Melaka yang kini memberi fokus kepada teknologi tersebut.

“Kursus baharu ini merupakan peluang terbaharu ditawarkan Melaka sesuai dengan permintaan guna tenaga sumber manusia dan tenaga boleh baharu dan juga keperluan guna tenaga untuk pekerjaan berteknologi tinggi.

“Bukan sahaja pelabur akan datang ke Melaka tetapi pelabur di negeri lain mungkin perlukan tenaga yang sama dan TVET ini boleh diperkasakan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat UMNO Bahagian Tangga Batu di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merangkap Pengerusi UMNO negeri, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin merangkap Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan kenamaan ternama.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata peruntukan RM6.8 bilion itu juga akan digunakan untuk menaik taraf institusi TVET di seluruh negara.

“Ia bertujuan untuk menambah jumlah pelajar bagi mengikuti kursus-kursus baharu yang akan diperkenalkan itu,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia kini mempunyai 1,334 TVET di seluruh negara membabitkan 12 kementerian yang memfokuskan dalam memberi latihan kemahiran kepada rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

919
Kongsi :
Previous post Zahid rasmi pejabat baharu UMNO Tangga Batu
Next post Malaysia kekal pendirian sokong Palestin
Ubah saiz-+=