Malindo Air dijangka mula operasi Oktober ini

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 26 Ogos – Malindo Air dijangka memulakan semula operasi penerbangan Melaka-Pulau Pinang bermula Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Melaka Datuk Roslan Ahmad berkata, perancangan itu bagi memastikan permintaan penumpang mencapai sasaran ditetapkan Malindo Air.

“Penerbangan Malindo Air yang dijangkakan beroperasi bulan September ini terpaksa ditangguhkan disebabkan ‘demand’ (permintaan) daripada masyarakat masih rendah daripada yang dijangkakan.

“Buat masa ini akan dilanjutkan lagi sehingga bulan Oktober bagi mendapat satu permintaan yang mencukupi untuk penerbangan berlepas, setakat ini hanya 10 hingga 11 tempahan saja diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Seminar Melaka Rumahku Maju Jaya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Ujarnya, selain pandemik COVID-19 menjadi punca masyarakat was-was untuk menggunakan khidmat Malindo Air, usaha mempromosi juga perlu dilaksanakan.

“Kita lihat bahawa pakej Malindo Air Melaka-Pulau Pinang selama ini hanya dilaksanakan pada hari biasa khususnya kepada ‘bussiness traveller’.

“Jadi saya sarankan buat pakej baharu pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk menarik ‘family group’ khususnya pelancong tempatan menggunakan khidmat Malindo Air,” katanya.

Jelasnya, bulan Oktober ini Malindo Air akan melihat semula cadangan untuk memulakan operasi mengikut permintaan penumpang.

“Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) juga diminta untuk bantu mempromosi Malindo Air, selain pihak Malindo Air perlu mengkaji semula pelan perniagaan mereka,” katanya.

Views:

444
Kongsi :
Previous post Sambutan merdeka berskala kecil
Next post Jabatan Kesihatan Negeri Melaka keluarkan 650 kompaun premis pembiakan Aedes
Ubah saiz-+=