MAPEX rujukan bakal pembeli rumah

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

PENGKALAN BATU 20 Julai – Ekspo Perumahan dan Hartanah Negeri Melaka (MAPEX) menjadi pusat rujukan kepada bakal pembeli kediaman mendapatkan maklumat dan perincian berhubung insentif pembiayaan disediakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran MAPEX amat relevan dan praktikal dalam memadankan kediaman belum terjual dengan pembeli bersesuaian.

Ab Rauf berkata, penganjuran MAPEX secara tidak langsung merancakkan aktiviti sektor hartanah khususnya kediaman, selain meningkatkan pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka.

“Rakyat boleh mendapatkan maklummat dan khidmat nasihat mengenai penawaran rumah, insentif kerajaan dan insentif pembiayaan terkini yang terdapat di pasaran.

“Penganjuran ekspo kali ini amat memberangsangkan, ia turut disertai Lembaga Perumahan Melaka (LPM), PRIMA dan 20 pemaju swasta tempatan mempromosikan hampir 3,700 unit hartanah bernilai RM1.41 bilion di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Perumahan dan Hartanah Negeri Melaka (MAPEX) 2023 di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin yang mewakili Ketua Menteri.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkifli Mohd Zin; Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka Datuk Ng Choon Koon; Penganjur MAPEX Datuk Ngoh Chun How; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Mohd Salleh Hamidom serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

887
Kongsi :
Previous post Bangunkan tanah adat bina rumah mampu milik
Next post Persatuan sukan perlu agresif anjur kejohanan, bantu atlet baiki ranking
Ubah saiz-+=