Maritim Malaysia gagalkan penyeludupan dadah dalam bungkusan teh Cina

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MORIB 6 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, (Maritim Malaysia) Negeri Selangor berjaya menghalang dan menggagalkan cubaan penyeludup yang disyaki membawa sejumlah dadah dengan menggunakan sebuah kereta untuk dipindahkan ke bot pancung menuju Indonesia di perairan Morib.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, hasil risikan daripada Maritim Selangor dan Pasukan Gerakan Am (PGA) telah membawa kepada penahanan seorang individu lelaki, 46 tahun dan seorang wanita, 44 tahun, yang kedua-duanya warga tempatan sekitar jam 5.50 petang pada 29 Julai lalu.

Ketika pemeriksaan awal, pasukan operasi telah menemukan sebuah kotak mengandungi 15 bungkusan teh cina di dalam kenderaan yang digunakan pasangan tersebut.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bungkusan itu mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 15.88 kilogram yang dianggarkan bernilai RM 670,000.

Kedua-dua suspek ditahan dan kesemua bungkusan dirampas serta dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut, sebelum diserahkan kepada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Langat.

Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan pengedaran dadah, jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup, yang mana boleh juga dikenakan hukuman sebat.

Maritim Malaysia memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2472
Kongsi :
Previous post Melaka sedia tambah produk pelancongan baharu – KM
Next post Ismail Sabri: Kerajaan sedia hadapi sebarang kemungkinan sekiranya PN tarik sokongan
Ubah saiz-+=