Melaka sedia tambah produk pelancongan baharu – KM

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

BANDA HILIR 6 Ogos – Produk pelancongan baharu berkonsepkan pelancongan digital dan eko pelancongan menjadi antara fokus utama kerajaan negeri dalam terus memperkasa sektor pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, selain produk-produk baharu, kerajaan negeri juga sedia menambah jumlah penganjuran aktiviti pelancongan di negeri ini.

Katanya, ia selari dengan flagship ke-6, ‘Melaka Negeri Pelancongan’ dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 yang memberi penekanan untuk meningkatkan bilangan kehadiran pelancong sebanyak 10 peratus setiap tahun.

Galeri Warisan Kota Melaka di Jalan Kota, Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Kerajaan Negeri mengunjurkan kedatangan pelancong sehingga tahun 2023 iaitu seramai 7.45 juta orang dan memanjangkan tempoh bermalam pelancong di negeri ini kepada 3 malam.

“Jumlah ini berkemungkinan bertambah dari jangkaan asal sebaik sempadan dibuka.

“Kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan juga akan terus menyokong dan turut bersama-sama menggerakkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) dan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dalam memastikan setiap dasar dan perancangan dilaksanakan akan memberi manfaat serta pulangan yang positif kepada pembangunan segenap aspek untuk negeri yang bertuah ini,” katanya.

ANTARA tarikan di Galeri Warisan Kota Melaka di Jalan Kota, Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Galeri Warisan Kota Melaka dan Pelancaran Buku Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) di Jalan Kota, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Santhara J.P; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan lain-lain kenamaan.

Mengulas mengenai galeri berkenaan, Sulaiman berharap penubuhan galeri itu dapat menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara untuk mengenali dengan lebih dekat sejarah kemasyhuran Negeri Melaka.

ANTARA tarikan di Galeri Warisan Kota Melaka di Jalan Kota, Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Saya juga berharap pada masa akan datang, lebih banyak kajian ekskavasi arkeologi dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara boleh dilaksanakan di negeri ini dalam merungkai bukti-bukti sejarah yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman turut berharap keunikan Melaka sebagai sebuah negeri yang memiliki kepelbagaian budaya Warisan Tidak Ketara dan tapak serta monumen sejarah akan terus menjadi daya penarik untuk pelancong melawat ke negeri ini.

ANTARA tarikan di Galeri Warisan Kota Melaka di Jalan Kota, Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1599
Kongsi :
Previous post Galeri Warisan Kota Melaka pamer penemuan sejarah dirasmikan
Next post Maritim Malaysia gagalkan penyeludupan dadah dalam bungkusan teh Cina
Ubah saiz-+=