Galeri Warisan Kota Melaka pamer penemuan sejarah dirasmikan

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDA HILIR 6 Ogos – Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini, merasmikan Galeri Warisan Kota Melaka di Jalan Kota, di sini.

Tun Mohd Ali yang tiba di majlis berkenaan kira-kira jam 2.20 petang, disambut Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Santhara J.P; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan lain-lain kenamaan.

Majlis itu dimulakan dengan ucapan aluan daripada Santhara yang mewakili Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dan Sulaiman yang mewakili kerajaan negeri.

Simbolik perasmian galeri berkenaan disempurnakan dengan lafaz perasmian Galeri Warisan Kota Melaka oleh Tun Mohd Ali dan seterusnya menyempurnakan paluan gong sebanyak tiga kali.

Untuk rekod, Galeri Warisan Kota Melaka ditubuhkan sebagai kesinambungan daripada hasil penyelidikan dan ekskavasi arkeologi yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Warisan Negara sejak tahun 2007.

Ia susulan penemuan beberapa rangka manusia, jumpaan pelbagai artifak sejarah serta jajaran dan tembok Kota Melaka.

Penubuhan galeri itu sekali gus bertujuan memastikan segala maklumat dan penemuan kajian dipaparkan kepada umum.

Pada majlis sama, Tun Mohd Ali turut melancarkan Buku Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) dan pelancaran Kempen Kenali, Sayangi dan Lestari Warisan Kita.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3550
Kongsi :
Previous post Belum ada tarikh tarik balik sekatan eksport ayam – Nanta
Next post Melaka sedia tambah produk pelancongan baharu – KM
Ubah saiz-+=