Martabak rendang pilihan berbuka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PENGKALAN BATU 15 Mac – Menjadi antara menu popular dan pilihan ramai untuk berbuka pastinya di setiap bazar Ramadan akan ada gerai yang menawarkan martabak kepada pengunjung.

Bukan hanya satu sebaliknya di sesetengah bazar Ramadan ada sehingga lima gerai menjual martabak dengan pelbagai jenis inti menggunakan resipi rahsia masing-masing.

Pelbagai cara digunakan oleh peniaga untuk menonjolkan martabak mereka demi memikat hati pelanggan yang mahukan hidangan istimewa selepas seharia menahan lapar dan dahaga.

Bagi Mohd Razi Hamid, 40, mewarisi ‘bakat’ berniaga daripada orang tuanya sejak 15 tahun lalu, mencari kelainan dengan mengolah resepi martabak asli yang diganti dengan inti rendang.

“Saya sendiri gemarkan inti daging atau ayam yang lebih lembap kerana dianggap lebih menyelerakan berbanding inti yang kering, jadi timbul idea untuk hasilkan Martabak Rendang Pak Tan.

“Proses untuk hasilkan resipi ini bukan mudah, selepas beberapa kali mencuba akhirnya saya berjaya mendapatkan martabak mengikut rasa dan tekstur lembut yang diinginkan. Tetapi masih ada perasaan bimbang jika tidak menepati kehendak pelanggan,” katanya ketika ditemui di gerainya di Bazar Ramadan Peringgit.

Mohd Razi meluahkan rasa syukur kerana Martabak Rendang Pak Tan mendapat sambutan sejak di berniaga di Bazar Ramadan Peringgit sejak 2009.

“Selain rasa yang enak Martabak Rendang Pak Tan lain daripada yang lain dan hanya dijual pada bulan Ramadan sahaja,” katanya.

Menurut Mohd Razi, dia tidak menyangka resepi Martabak Rendang Pak Tan turut menarik perhatian bekas Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

“Memang tidak sangka, martabak saya ini menarik perhatian Tunku Azizah sehingga berkenan meluangkan masa di gerai jualan saya tahun lalu.

“Bagi saya cabaran berniaga ini biarlah ikhlas daripada hati bukan niat hanya suka-suka atau ingin mencuba kerana kepercayaan pelanggan itu penting, kualiti dan rasa juga perlu sentiasa dijaga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

581
Kongsi :
Previous post Hotel MITC belanja murid SRA JAIM Merlimau Pasir berbuka
Next post Aneka makanan bergoreng serendah RM3
Ubah saiz-+=