Masih jual roti canai 50 sen walaupun tepung naik harga

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

KESIDANG 23 Mei – Meskipun harga tepung gandum dikatakan semakin meningkat sehingga ada segelintir peniaga terpaksa menaikkan harga namun bagi peniaga roti canai Mustafa Abd Latif dia masih mengambil pendekatan mengekalkan harga jualan 50 sen bagi sebiji roti canai di gerainya.

Menurut Mustafa, 58, selain itu harga bagi roti telur dan roti planta juga turut dikekalkan dengan hanya RM1 sekeping meskipun dia turut terkesan dengan kenaikan harga tepung yang dikatakan naik lebih sekali ganda.

Katanya, sejak berniaga kira-kira 11 tahun lalu, 2022 adalah tahun paling mencabar apabila bukan sahaja berlaku kenaikan harga malah beberapa barangan seperti minyak masak paket dan tepung gandum berdepan dengan kekurangan bekalan di pasaran.

“Bekalan tepung sekarang ini memang payah, jika dulu kita hanya tertumpu di satu kedai sahaja kini terpaksa merayau untuk dapatkan bekalan sekiranya tidak lakukan begitu memang tiada tepung untuk jualan roti canai.

“Malah harga tepung gandum kini juga meningkat, sebelum ini harga hanya sekitar RM1.40 sekilogram tetapi kini saya terpaksa gunakan tepung jenama lain yang harganya lebih mahal hampir mencecah RM3. Untuk dapatkan doh roti canai yang sempurnakan ia bergantung juga kepada jenama tepung,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Bukit Pulau, Bukit Katil.

MUSTAFA dan isterinya sudah 11 tahun berniaga roti canai.

Mustafa berkata, dia tidak menafikan terkesan dengan keadaan waktu ini tetapi bapa kepada empat anak itu nekad untuk terus mengekalkan harga walaupun didesak supaya menaikkan harga oleh pelanggan dan keluarganya sendiri.

“Memang ada pelanggan yang cakap harga gila tetapi niat saya bersedekah dan untuk arwah orang tua. Saya sudah pesan kepada anak-anak selagi ada umur akan kekalkan harga itu, sekiranya ditakdirkan saya sudah tiada terserah kepada mereka.

“Kekadang kita tidak sedar ada yang tidak mampu jadi dengan ini sedikit sebanyak dapat membantu kerana suatu masa dahulu saya pernah lalui kehidupan perit sehinggakan sukar untuk makan,”katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga roti canai di Balai Panjang, Zaiton Yon, 63, berkata, dia kini berada dalam dilema sama ada mahu menaikkan harga jualan ataupun kekalkan harga sedia ada.

Katanya, ia berikutan dirinya turut terjejas dengan kenaikan harga barang mentah sejak akhir-akhir ini.

ZAITON (kanan) peniaga roti canai di Balai Panjang.

“Untuk waktu ini saya masih kekalkan harga roti kosong RM1, roti telur RM2 dan roti sardin RM3.50 sebiji. Boleh katakan masih was-was untuk naikkan harga kerana ia bukan sesuatu yang mudah kerana akan memberi kesan kepada segelintir pelanggan.

“Bekalan tepung gandum kini memang susah memang perlu cari banyak tempat dan masa hanya habis di atas jalan. Tempoh sekarang agak sukar dengan harga naik lagi, walaupun payah roti canai perlu ada kerana dianggap penyeri sarapan pagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1825
Kongsi :
Previous post Empat pelajar mengaku bersalah pukul junior
Next post Melaka bawa ‘rombongan’ ke Riau naik feri
Ubah saiz-+=