Masjid mampu jadi medium perantara tingkat kesedaran suntikan vaksin – Mufti

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 8 April. – Institusi masjid boleh menjadi medium perantara bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin COVID-19.

Mufti Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mempergiat usaha terbabit dengan memfokuskan di setiap kawasan perkampungan agar objektif Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dapat dijayakan.

“Jika masjid dijadikan sebagai pusat setempat dalam sesebuah komuniti ia akan memudahkan masyarakat kampung untuk mendaftarkan diri dan sekali gus memudahkan mereka mendapatkan suntikan di masjid secara terus dari KKM.

“Perkara ini juga akan memudahkan masyarakat kampung untuk mendapat akses dengan lebih cepat berbanding perlu menghadirkan diri ke bandar atau lokasi yang ditetapkan yang akhirnya mereka kurang berminat berkemungkinan disebabkan faktor jarak atau sebaliknya.

“Apa pun kita mengalu-alukan dan menerima sebarang kerjasama dari KKM bagi memastikan hasrat ini dicapai kerana tiada halangan akan diletakkan jika masjid dijadikan sebagai pusat setempat untuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Buku COVID-19 Melanda Negara dan Dunia diadakan di Hotel Muzaffar di sini, hari ini.

Untuk rekod Kaunter Promosi dan Pendaftaran Vaksinasi bagi PICK Melaka diadakan di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil dan Masjid Al-Ghafar, Jasin pada setiap solat Jumaat bermula 2 April lalu bermula 12 tengah hari hingga 3 petang.

Program itu melibatkan kerjasama antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka dan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Melaka.

Sementara itu Abdul Halim berkata, pelbagai usaha dilakukan pihaknya bagi memastikan kesedaran masyarakat untuk penerimaan suntikan vaksin.

“Antara usaha pihak masjid adalah menyediakan teks khutbah Jumaat berkaitan penerimaan suntikan ini agar memberi kesedaran di setiap peringkat masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

990
Kongsi :
Previous post Pengerusi RELA Melaka Tengah rasmi kursus pengenalan RELA
Next post 291 kertas siasatan kes berita palsu COVID-19 dibuka
Ubah saiz-+=