Masjid Tanah masih di bawah MPAG

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 29 Jan. – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) masih bertanggungjawab mentadbir kawasan Masjid Tanah meskipun kawasan itu diangkat menjadi sebuah daerah baharu di negeri ini.

Yang Dipertua MPAG Mohd Fadhil Hassan berkata, ini kerana proses penubuhan daerah baharu di Masjid Tanah mengambil masa memandangkan pelbagai aspek perlu diambil kira terutama membabitkan pewartaan dan perundangan.

Katanya, sebagai langkah peralihan awal, bangunan pentadbiran kerajaan yang baharu bakal diwujudkan di Pekan Masjid Tanah bagi memudahkan urusan penduduk setempat, selain ia juga berfungsi sebagai ‘batu loncatan’ apabila daerah baharu itu diwujudkan.

“Ketika ini kita meletakkan wakil di kawasan Masjid Tanah dan pada masa sama sebuah bangunan kerajaan yang merangkumi pelbagai agensi persekutuan dan negeri seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lain-lain juga akan diwujudkan di kawasan itu.

“Jadi, selepas ini penduduk di Masjid Tanah tidak perlu lagi keluar jauh untuk melakukan segala urusan berkaitan pejabat daerah dan sebagainya.

“Kita akan memberi tumpuan kepada kedua-dua kawasan buat masa ini, sehinggalah apabila Masjid Tanah sudah boleh bergerak sendiri menerusi penubuhan majlis perbandaran atau majlis daerah yang baharu nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas penubuhan daerah baharu Masjid Tanah itu, Mohd Fadhil mengakui ia langkah yang tepat dalam menyeimbangkan pembangunan di Masjid Tanah dan Alor Gajah.

Jelasnya, apabila dua kawasan itu dipecahkan, pihaknya boleh memberi tumpuan penuh kepada kemajuan di Alor Gajah dan pada masa sama pihak berkuasa di tempatan di Masjid Tanah boleh mengubah corak kawasan itu mengikut acuan sendiri.

“Apapun, kita perlu menunggu pembahagian tanah antara dua-dua kawasan apabila semuanya selesai nanti. Selepas dipecahkan, kami akan memberi tumpuan penuh kepada pembangunan Alor Gajah dan kita juga menjangkakan aspek perkhidmatan di kedua-dua kawasan nanti akan jadi lebih cepat dan efektif selepas ini,” katanya lagi.

Views:

1099
Kongsi :
Previous post Masjid Tanah bakal alami kemajuan pesat
Next post 4 hospital swasta Melaka setuju rawat pesakit COVID-19
Ubah saiz-+=