Masjid Tanah bakal alami kemajuan pesat

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 29 Jan. – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan percaya penubuhan daerah baharu Masjid Tanah akan menyaksikan kawasan itu membangun dan mengalami kemajuan lebih pesat di masa akan datang.

Beliau berkata, transformasi yang sedang dilakukan kerajaan negeri ini perlu disambut baik memandangkan pihaknya melihat Masjid Tanah mempunyai pelbagai potensi dan sumber untuk diterokai bagi menambah baik ekonomi negeri dan rakyat.

Penubuhan daerah itu juga jelasnya, akan mewujudkan sistem pentadbiran lebih berkesan di kawasan itu, sekali gus memudahkan urusan penduduknya.

“Bila Masjid Tanah dipisahkan dengan daerah Alor Gajah, kita percaya keberkesanan mentadbir itu akan berubah menjadi lebih baik kepada masyarakat dan pada masa sama kita berharap kemajuan dapat berlaku lebih cepat.

“Jika sebelum ini, kita melihat pembangunan tidak seimbang kerana Masjid Tanah berada di bawah Alor Gajah, tetapi bila sudah diasingkan, aktiviti pembangunan dapat ditumpukan di kedua-dua kawasan.

“Penubuhan daerah Masjid Tanah ini dibuat kerana kita tahu, kawasan ini sudah pesat membangun, terutama di kawasan pantai yang mempunyai banyak potensi untuk ekonomi,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Abdul Ghafaar mengakui peralihan kepada daerah penuh di Masjid Tanah itu akan mengambil masa terutama aspek undang-undang dan segala hal berkaitan pembahagian tanah mengikut daerah.

Namun, semua itu diyakini mampu diselesaikan mengikut perancangan ditetapkan dan pihaknya juga bercadang mewujudkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sendiri di kawasan berkenaan apabila semuanya selesai.

“Insya-Allah bila sudah ada daerah baharu sudah tentulah kita akan melihat pula dari segi PBT. Sama ada majlis perbandaran atau majlis daerah itu akan kita kaji dan lihat keperluannya.

“Apapun, semua ini tidak boleh berjalan serentak. Kita perlu buat satu persatu terlebih dahulu dan selepas itu barulah kita beri tumpuan kepada PBT dan lain-lain perkara,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dalam ucapan Amanat Tahun Baharu 2021 mengumumkan Masjid Tanah bakal diangkat sebagai daerah baharu di Melaka.

Jelasnya, kewujudan daerah baharu itu dilihat sebagai pemangkin dalam memajukan ekonomi Melaka, selain meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Views:

415
Kongsi :
Previous post Gempa bumi lemah di Laut Sulawesi, gegaran mungkin dirasai di Tawau
Next post Masjid Tanah masih di bawah MPAG
Ubah saiz-+=