Sorting by

×

Masyarakat Orang Asli Ayer Dusun sambut Hari Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

ALOR GAJAH 19 Sept. – Biarpun sambutan Hari Malaysia tahun ini terbatas ekoran kebimbangan terhadap pandemik COVID-19, namun ia bukan halangan untuk masyarakat Orang Asli untuk meraikannya.

Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Machap Jaya, Datuk Rospandi Leman berkata, kali ini pihaknya memilih untuk menyantuni masyarakat Kampung Orang Asli Ayer Dusun.

ANAK-anak masyarakat Orang Asli gembira meraikan Hari Malaysia.

“Bersama Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah bersama pihak Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri, kita menjelajah ke kampung ini untuk menyemarakkan semangat menyambut Bulan Kebangsaan ke-64 tahun dan Hari Malaysia ke-58.

“Kita mengedarkan Jalur Gemilang dan barangan keperluan asas kepada 150 masyarakat Orang Asli, ia sekali gus menarik penglibatan penduduk kampung ini sendiri.

“Kerajaan negeri ingin memastikan kemajuan di kampung Orang Asli ini juga setanding dengan kampung-kampung lain.

“Diharap dengan kelengkapan infrastruktur asas seperti elektrik dan air akan dapat meningkatkan mutu kehidupan di kampung ini,” katanya pada program Sepakat Merdeka@Komuniti di Kampung Orang Asli Ayer Dusun, baru-baru ini.

Pada masa sama, pihak JAPERUN juga berterima kasih kepada Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah atas usaha mendekati setiap masyarakat dan menyemarakkan semangat menyambut Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Salina Hasan@Abd Rashid dan Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Alor Gajah, Adzrien Abdul Rahim.

Rospandi berkata, pihak kerajaan negeri dan JAPERUN sentiasa bersama dan membantu masyarakat Orang Asli dalam meningkatkan mutu kehidupan dan kebajikan mereka.

“Diharap masyarakat ini dapat bekerjasama antara satu sama yang lain dan tidak berpecah belah terutama dalam pengurusan kebajikan penduduk kampung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

758
Kongsi :
Previous post Lengkap vaksin dapat beras
Next post Bekas kakitangan Pejabat Ketua Menteri Melaka meninggal dunia
Ubah saiz-+=