Masyarakat Orang Asli semakin terbuka terima vaksin COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

ALOR GAJAH 6 Julai – Masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia kini dilihat semakin terbuka menerima vaksin COVID-19 menerusi program vaksinasi bergerak dijalankan di setiap pelosok kampung mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Henry Sum Agong berkata, buktinya berlaku peningkatan mendadak masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang bersetuju menerima vaksin.

Jelasnya, mengikut data Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), daripada 144,180 orang yang layak divaksin, 36,383 daripadanya telah memberikan persetujuan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 9,163 telah menerima suntikan dos pertama dan 1,882 telah menerima lengkap dua dos vaksin.

HENDRY pada sidang akhbar selepas menyantuni penerima vaksin COVID-19 di Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka. Foto: MR. Azli

“Prestasi itu pada saya agak baik dan di peringkat Kementerian, kita akan terus berusaha memastikan lebih ramai lagi akan bersetuju dan menerima suntikan vaksin COVID-19 selepas ini.

“Kita juga akan memastikan semua tempat terpencil yang belum didatangi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mendapat perhatian.

“Pada masa sama, kita akan mengadakan lawatan ‘outreach’ ke rumah-rumah dan kampung-kampung untuk memastikan seluruh masyarakat luar bandar khususnya daripada komuniti Orang Asli menerima vaksin,” katanya.

HENDRY (kanan) diiringi Mas Ermieyati (kiri) menyantuni penerima vaksin OKU, Hadi Degil, 42, ketika melawat penerima vaksin COVID-19 dari rumah ke rumah di Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka. Foto: MR. Azli.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan menyantuni penerima vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak MARA Liner di Kampung Orang Asli Bukit Payung, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Mengulas pemberian vaksin di kampung berkenaan, Henry mengakui gembira dengan sambutan diterima daripada penduduk apabila 314 telah menerima vaksin jenis Sinovac pada hari ini.

Sambutan menggalakkan itu, ujarnya, sedikit sebanyak disumbangkan oleh pemimpin setempat termasuk Ahli Parlimen yang sentiasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang benar mengenai kebaikan vaksin.

“Kita berharap usaha murni ini akan berterusan dan mendapat kejayaan kerana sangat penting untuk segenap lapisan masyarakat menerima vaksin sebagai jaminan untuk kita mendapatkan imunisasi berkelompok, sekali gus memerangi COVID-19,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

586
Kongsi :
Previous post Sheng Tai lahir 16 ‘influencer’ pelbagai bidang
Next post Cadang pasar malam dibenar beroperasi – MEDAC
Ubah saiz-+=