MATTA Melaka sasar jual 20,000 pakej pelancongan bernilai RM15 juta

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 7 Oktober – Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasarkan lebih 20,000 pakej pelancongan dengan nilai jualan RM15 juta mampu dicapai sempena penganjuran MATTA Fair Melaka 2023 selama tiga hari bermula semalam.

Pengerusi MATTA Melaka Chapter, Goh Hock Gin berkata, pelbagai tawaran pakej pelancongan menarik ditawarkan sepanjang penganjuran di Dataran Pahlawan Melaka Megamall khususnya membabitkan pakej pelancongan di negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Pada penganjuran kali ini kita menampilkan seramai 45 pemain industri pelancongan terdiri daripada pelbagai ejen dari dalam dan luar Melaka.

“Menerusi MATTA Fair Melaka 2023, sebanyak 68 reruai atau gerai pameran pakej pelancongan ditawarkan buat pelancong dengan lebih 200 pakej pelancongan ditawarkan di dalam dan luar Negeri Melaka.

“Kita berharap dengan penganjuran kali ini mampu dijadikan sebagai sinergi MATTA untuk terus mengorak langkah mempromosikan pelbagai pakej-pakej menarik untuk menyakinkan pelancong datang ke Melaka sempena TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Matta Fair Melaka 2023 yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden MATTA Malaysia, Sheikh Awadh Sheikh Abdullah; Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Domestik Dan Acara Tourism Malaysia, Jeffri Munir dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Melaka, Jay Yeow Chin Chai.

Terdahulu, Abdul Razak pada sidang media berkenaan mempelawa MATTA untuk menganjurkan siri berikutnya pada tahun hadapan dan dijadual dalam tempoh seminggu di Pavillion TMM2024 terletak di Padang Dataran Pahlawan Megamall.

Hock Gin berkata, pihaknya bersedia untuk menyahur saranan menganjurkan MATTA Fair berikutnya bagi memastikan pelancong dapat menikmati pelbagai pakej pelancongan menarik dengan harga rendah dan berpatutan.

Ia katanya, sekali gus membantu merealisasikan harapan Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran 18 juta pelancong tahun depan.

“MATTA menyokong penuh hasrat itu untuk membantu mempromosikan pelancongan Melaka dan perkara ini sekali gus mampu membantu memperhebat TMM2024 pada tahun hadapan.

“Melihat TMM2024 yang bakal diraikan berbaki beberapa buan sahaja lagi, MATTA akan terus memastikan pelbagai pakej-pakej pelancongan menarik akan ditawarkan buat pengunjung yang datang ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1660
Kongsi :
Previous post Projek pembangunan Air Panas Gadek dijangka siap November
Next post Kadar pengangguran menurun 3.5 peratus
Ubah saiz-+=