Maut tercampak langgar skuter keluar simpang

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BUKIT RAMBAI 9 Ogos – Seorang penunggang maut, manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Bukit Rambai, berhampiran susur keluar Taman Rambai Jaya, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa Mohd Faiz Basir, 33, yang juga Pembantu Operasi Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR sedang dalam perjalanan ke arah sebuah bank di Taman Rambai Jaya dari arah Taman Rambai Utama.

Katanya, ketika mangsa sedang bergerak lurus, tiba-tiba sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz yang ditunggang wanita berusia 25 tahun keluar dari persimpangan Taman Rambai Jaya menuju ke Cheng dan menyebabkan berlakunya rempuhan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa telah tercampak dan disahkan maut di lokasi kejadian, manakala penunggang wanita mengalami kecederaan di kaki dan tangan kanan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kejadian,” katanya.

Christopher berkata, pihaknya telah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di deretan kedai berhampiran dan mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, sebuah rakaman video CCTV berdurasi 25 saat memaparkan insiden kemalangan itu tular di media sosial.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

20362
Kongsi :
Previous post Melaka zahir hasrat bawa pulang artifak, bahan sejarah dari Belanda
Next post Cikgu veteran berentap di padang sintetik Nyalas
Ubah saiz-+=