Melaka zahir hasrat bawa pulang artifak, bahan sejarah dari Belanda

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI 9 Ogos – Kerajaan Negeri berhasrat mendapatkan semula beberapa bahan artifak bersejarah bersejarah serta dokumen persuratan penting negeri ini ketika Melaka berada di bawah jajahan Belanda.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, satu pertemuan telah diadakan bersama Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner di pejabatnya, semalam.

Pada pertemuan itu, Ab Rauf turut mengatur sesi perjumpaan melibatkan Werner bersama pengkaji sejarah dan penyelidik Kajian Penyelidikan Hang Tuah di Bilik Tun Bija Sura, Seri Negeri.

Menurut Ab Rauf, pada pertemuan itu, Kerajaan Negeri menyuarakan hasrat untuk menjalin kerjasama dalam usaha membawa pulang khazanah bersejarah Melaka yang berada di Belanda.

“Dalam pertemuan itu, saya memaklumkan kepada Tuan Yang Terutama Jacques mengenai hasrat Kerajaan Negeri untuk mendapatkan kembali tinggalan artifak mahupun manuskrip bersejarah yang mengaitkan Laksamana Hang Tuah serta Kesultanan Melayu Melaka yang masih terdapat di Belanda.

“Menerusi pertemuan ini, saya percaya segala usaha kita mengumpulkan kembali segala khazanah seni dan budaya bangsa dipermudahkan,” katanya pada satu hantaran di laman Facebook rasminya.

Hadir sama pada pertemuan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Zaidi Attan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan, Kerajaan Negeri turut berhasrat untuk melawat Belanda pada penghujung Oktober ini.

“Kerjasama daripada Kedutaan Belanda dapat membantu mengesan artifak mahupun manuskrip negeri Melaka yang masih terdapat di negara berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1022
Kongsi :
Previous post Teruskan bayaran pencen mengikut amaun asal tahun hadapan
Next post Maut tercampak langgar skuter keluar simpang
Ubah saiz-+=