Teruskan bayaran pencen mengikut amaun asal tahun hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

JASIN 9 Ogos – Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) mencadangkan kerajaan mengekalkan dan meneruskan jumlah pencen dan pencen terbitan dibayar menggunakan amaun asal pada tahun hadapan.

Pengerusinya, Datuk Omar Osman berkata langkah itu seiring dengan inisiatif Kerajaan Pusat memberi Pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP).

Katanya, inisiatif itu merupakan langkah tepat selepas keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan penyelarasan pencen dua peratus kepada golongan pesara.

“Saya mahu memberi cadangan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri untuk mengambil kira kebajikan pesara kerajaan dengan meneruskan pembayaran pencen menggunakan amaun asal bermula pada 1 Januari 2024.

“Diharapkan cadangan pembayaran pencen kepada pesara kerajaan dapat diteruskan meskipun penyelarasan pencen dua peratus kepada pesara kerajaan telah dimansuhkan.

“Kita cuma mahu pembayaran pencen mengikut amaun asal yang diberikan bermula Julai hingga Disember 2023 dapat diteruskan pada tahun hadapan sehingga tempoh baharu semakan semula sistem saraan perkhidmatan awam dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sepetang Hari Pesara Peringkat Negeri Melaka, Daerah Jasin di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi dan Pengerusi KUPEKMAS Melaka, Hamidah Ahmad.

Untuk rekod, pada 12 Julai lalu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai hingga Disember tahun ini dibayar menggunakan amaun pencen asal selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan.

Menurutnya, kerajaan mengambil maklum akan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun 2023 yang memutuskan bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3139
Kongsi :
Previous post Biar curiga agar tidak dijerat
Next post Melaka zahir hasrat bawa pulang artifak, bahan sejarah dari Belanda
Ubah saiz-+=