MBMB tak lepas tangan isu anjing liar di kawasan perumahan

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 21 Sept. – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sentiasa bertindak terhadap aduan orang ramai berhubung masalah anjing liar terutamanya di kawasan perumahan.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, merujuk kepada isu kebanjiran anjing di Taman Paya Rumput Perdana seperti yang disiarkan Melaka Hari Ini, baru-baru ini, pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap aduan berkenaan dengan memasang perangkap anjing di kawasan itu sejak 2019.

Katanya, dari tempoh 2019 hingga 2020, sebanyak 28 kali perangkap telah dipasang di lokasi tersebut dan hasilnya 21 ekor anjing liar telah ditangkap.

“Pihak jabatan akan mengambil tindakan terhadap setiap aduan yang diterima. Bagi aduan anjing liar di Taman Paya Rumput Perdana, semakan telah dilakukan sebanyak 28 kali pada tahun 2019 sehingga kini.

“Sebanyak 21 ekor anjing telah ditangkap di lokasi tersebut bermula Februari 2019 hingga kini,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Zainal memaklumkan, dalam operasi membanteras anjing liar itu difahamkan terdapat kejadian di mana orang awam telah bertindak melepaskan anjing yang memasuki perangkap.

“Perangkap telah dipasang di lokasi pada 18 Februari hingga 23 Februari 2019 dan pada 26 November hingga 28 November 2019. Didapati anjing yang masuk ke dalam perangkap telah dilepaskan oleh orang awam.

“Bagaimanapun, pihak jabatan akan membuat semakan semula secara rutin di setiap lokasi aduan bagi menyelesaikan isu yang timbul sebaik mungkin,” katanya lagi.

Views:

1696
Kongsi :
Previous post Jaring nelayan rosak angkara kapal tunda
Next post Didenda RM20,000 terima suapan
Ubah saiz-+=