MCMC akan buka kertas siasatan terhadap Awesome TV

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PUTRAJAYA, 21 Feb – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan membuka satu kertas siasatan terhadap saluran televisyen tempatan, Awesome TV, susulan laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.

Menerusi kenyataan hari ini, MCMC berkata kertas siasatan itu dibuka di bawah Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) iatu kegagalan mematuhi syarat lesen.

Menurut MCMC, pertemuan antara MCMC dan pengurusan tertinggi Awesome TV telah diadakan semalam untuk mendapatkan penjelasan lanjut ekoran aduan berkenaan laporan yang disiarkan mengenai cadangan mengurangkan bilangan penjawat awam.

“Apabila kertas siasatan dilengkapkan, ia akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan lanjut,” kata MCMC.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 242 iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebelum ini dilaporkan berkata MCMC akan mengadakan pertemuan dengan Awesome TV bagi mendapatkan penjelasan mengenai laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.

Fahmi berkata beliau difahamkan Awesome TV telah melakukan enam pelanggaran berhubung menerbitkan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

MCMC berkata ia memandang serius terhadap aduan pengguna dan komited dalam usaha mempertingkat tahap pematuhan para pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I) supaya kandungan yang disiarkan mencerminkan budaya, identiti dan norma-norma masyarakat, selaras AKM 98 dan Kod Kandungan.

“Setiap aduan yang diterima akan diteliti berdasarkan peruntukan AKM 1998, peraturan-peraturan yang berkaitan di bawahnya dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Antara tatacara atau proses aduan yang dibuat adalah seperti memanggil pihak penyiar yang diadukan untuk tampil mengemukakan penjelasan bagi menentukan bentuk tindakan penguatkuasaan yang akan diambil,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1350
Kongsi :
Previous post Isu Kertas Pandora, pelaksanaan Malaysia Madani dibangkit di Dewan Rakyat hari ini
Next post Pensyarah UTeM wakili Malaysia kongsi kepakaran telekomunikasi
Ubah saiz-+=