Md Akid tawan litar Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

JASIN 29 Mei – Pelumba Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Md Akid Aziz, menawan Litar Permotoran Jasin selepas muncul pemenang kelas CP150 Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2023, semalam.

Lebih menarik kemenanganya itu adalah kali pertama di litar berkenaan untuk musim ini selepas meraih tempat kedua pada Pusingan 2, Mac lalu di Jempol, Negeri Sembilan.

Md Akid melengkapkan perlumbaan 20 pusingan di litar itu dengan melakukan catatan terpantas 16 minit 27.295 saat.

Catatan itu mendahului saingan di tempat kedua Ahmad Afif Amran (Yamaha Y150zr PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing) dengan catatan masa 16 minit 29.146 saat.

Manakala rakan sepasukannya Kasma Daniel Kasmayudin, menduduki tempat ketiga apabila mencatatkan masa perlumbaan 16 minit 34.369 saat.

Dia tidak menyangka minatnya dalam sukan permotoran itu sejak tujuh tahun yang lalu membuahkan hasil apabila meraih kemenangan pada pusingan kali ini.

“Untuk sasaran, saya sendiri memang mahu jadi juara, Sudah lima tahun saya aktif dalam sukan motor, jadi saya cuba terbaik bagi 2023.

“Biarpun awal perlumbaan saya sudah pecut jauh ke hadapan, namun saya sentiasa toleh ke belakang untuk lihat pesaing bagi mengelakkan kesilapan,” katanya yang ditemui selepas perlumbaan itu.

photo1685268119
AKSI pelumba Kelas CP150 sempena Pusingan 3 Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia di Jasin Bestari. Foto Iqmal Haqim Rosman.

Katanya lagi, litar permotoran Jasin itu adalah antara litar terbaik bagi perlumbaan tersebut.

“Litar di Melaka ini sangat selesa, ini antara litar terbaik, permukaan jalan sangat baik berbeza dengan litar-litar lain sebelum ini,” katanya.

Pada kejuaraan itu Md Akid telah menerima piala kemenangan yang disampaikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1270
Kongsi :
Previous post Surat khabar masih punyai peranan penting, kata Anwar
Next post Miss Grand Kebaya Cilik dan Cosplay gamit peserta luar Melaka
Ubah saiz-+=