Medan Ikan Bakar Kuala Sungai Baru kembali hidup sepanjang Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KUALA LINGGI 18 April – Medan Ikan Bakar Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB) Kuala Sungai Baru, di sini kembali menerima kunjungan pelanggan yang memuaskan hati pihak pengurusan sepanjang Ramadan.

Dengan menyediakan pelbagai jenis ikan segar dari laut, medan berkenaan kembali menerima pesanan pelanggan sama ada dari sekitar Masjid Tanah atau luar Melaka.

Meskipun sekadar beroperasi kira-kira empat jam bermula jam 6 petang pada Ramadan, kehadiran pelanggan tetap memuaskan pihak pengurusan PNKMB.

Pengurus Besarnya, Shukri Yusof berkata, kebanyakan pelanggan menyatakan mereka amat menggemari ikan, udang, sotong dan hidupan laut yang lain yang disediakan di medan itu kerana ia segar dari laut.

“Seramai 265 ahli PNKMB menyediakan hasil tangkapan yang bukan setakat segar, malah pada harga yang munasabah bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelanggan untuk menikmati hasil laut berkualiti tinggi,” katanya ketika ditemui di Kompleks PNKMB semalam.

Petugas Medan Ikan Bakar PNKMB mempamerkan ikan siakap masak tiga rasa di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah.

Dia berkata, antara ikan didaratkan nelayan di kompleks itu ialah jenahak, kurau, pari, senangin, cencaru dan kerapu, malah, pelanggan juga boleh memilih kepah, kerang dan udang kertas gred A dan B yang segar dan enak dimasak pelbagai jenis masakan.

Sementara itu, pelanggan Noor Azilah Mohamad, 48, berkata dia hadir bersama-sama dua anaknya untuk menikmati ikan segar yang dimasak tiga rasa, selain udang masak sambal.

“Pada bulan biasa saya selalu makan di sini dan sekarang saya mengambil peluang berbuka puasa di medan ikan bakar ini kerana persekitarannya yang damai.

“Sambil menikmati ikan, udang dan kepah, kami menikmati keindahan pemandangan ketika matahari terbenam di ufuk barat dari muara Kuala Sungai Baru,” katanya.

Zulfakar Mohd Ali, 54, berkata dia sanggup datang dari Port Dickson, Negeri Sembilan bersama-sama tujuh anggota keluarganya semata-mata untuk menikmati ikan segar di medan ikan bakar berkenaan.

“Ikan segar rasanya lebih manis dan enak berbanding ikan yang sudah tiga atau empat hari disimpan dalam peti ais atau tong ikan.

“Dengan membelanjakan kurang RM300, saya dan keluarga puas menikmati ikan siakap bakar, cencaru bakar, sotong goreng tepung dan tom yam kepah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6947
Kongsi :
Previous post Kes basikal lajak: Kerani wanita dibebaskan dengan jaminan sementara rayuan didengar
Next post ‘Aplikasi e-wallet elak boros berbelanja’ – pengayuh beca
Ubah saiz-+=