MELAKA AMBIL ADUAN RAKYAT SEBAGAI AKU JANJI, JADI KERAJAAN BERTANGGUNGJAWAB

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TELOK MAS 2 Ogos – Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang sedang dilaksanakan di seluruh Melaka merupakan kesinambungan kepada inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dengan setiap aduan, pandangan dan cadangan rakyat dijadikan asas tindakan Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, semua input yang diterima daripada rakyat tidak akan dibiarkan tanpa tindakan, sebaliknya dijadikan aku janji pentadbiran beliau dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.

“Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat ini ialah susulan daripada program WRUR. Pastinya apa yang telah dijanjikan ataupun apa yang kita terima daripada aduan, pandangan dan cadangan dalam program itu, kita ambil sebagai aku janji kita.

“Maksudnya kita ambil undertaking ini untuk kita menjadi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Daripada masalah-masalah yang kita dengar, mesti ada susulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup Jelajah Ketua Menteri Sayang Siri Ke-8 Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Kompleks Japerun Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Kewangan Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, setiap aduan yang dikumpulkan tidak hanya ditulis bagi mencantikkan sesuatu angka, sebaliknya ia disusuli tindakan segera melalui agensi berkaitan bagi memastikan penyelesaian sampai kepada rakyat.

“Kita mengambil tindakan dan tindakan susulan kepada semua agensi supaya memberikan perkhidmatan kepada rakyat seperti mana yang kita janjikan,” katanya.

Ab Rauf berkata, pendekatan berteraskan rakyat itu akan terus menjadi asas pentadbiran negeri bagi memastikan setiap dasar dan program benar-benar memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

337
Kongsi :
Previous post ‘SENTUHAN KASIH BERSAMA’ BAIK PULIH 5 KEDIAMAN ASNAF DUN TELOK MAS
Next post MELAKA RIVER CRUISE JADI PRODUK PILIHAN PELANCONG LUAR