Melaka antara negeri tertinggi salurkan pakej bantuan rakyat

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 26 Jun – Melaka antara negeri tertinggi menyediakan pakej bantuan khas untuk kebajikan rakyat berbanding negeri lain dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Penasihat Ekonomi dan Inovasi kepada Ketua Menteri Melaka yang juga Profesor Adjung Kolej Universiti Lincoln, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, jika dibandingkan Pakej Bantuan 1.0 kepada rakyat negeri pada tahun lalu yang berjumlah RM21.45 juta, terdapat penambahbaikan dilakukan kerajaan negeri dalam pakej rangsangan pada tahun ini.

Katanya, nilai keseluruhan bagi kedua-dua pakej itu apabila ditambah, kerajaan negeri membelanjakan sumber kewangan bernilai RM195.98 juta.

“Pakej ini jika dibandingkan mengikut nilai ratio per individu, boleh dikatakan Melaka merupakan antara negeri menyediakan pakej rangsangan ekonomi tertinggi selain Sarawak (RM1.4 bilion) manakala Selangor membelanjakan kira-kira RM551.56 juta melibatkan lebih enam juta penduduknya.

“Berbanding negeri lain, kita boleh mengatakan berdasarkan jumlah ratio per individu, Melaka merupakan (antara) negeri tertinggi menyalurkan bantuan ke seluruh rakyatnya,” katanya dalam Diskusi@MelakaTV – Pakej Rangsangan Ekonomi Melaka 2021 – Apakah Impak Kepada Rakyat? secara langsung di laman Facebook Melaka Hari Ini (MHI) di sini.

Beliau berkata demikian mengulas perkara itu ketika menjelaskan keistimewaan dan penambahbaikan 60 inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021: Sejahtera Bersama yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali minggu lalu.

Program diskusi itu disertai Ketua Pegawai Operasi MHI, Anuar Shaari selaku moderator dan Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Madya Dr Juhaini Jabar.

Mengulas lanjut, Dr Sabri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) berkata, pakej rangsangan itu turut dilihat sebagai kemuncak kepada keseluruhan inisiatif lebih 100 pakej rangsangan dan 40 ‘touch point’ yang diumumkan menerusi Belanjawan 2021.

“Pakej itu turut dilihat sebagai inklusif dan komprehensif yang mana penumpuannya bukan kepada satu kelompok sahaja tetapi turut merangkumi industri tempatan.

“Ia juga dilihat sebagai pakej menyeluruh kerana ia berteraskan hubungan simbiosis antara ‘people economy’ iaitu ekonomi yang berasaskan kepentingan rakyat dan ‘capital economy’ iaitu bertujuan merancakkan ekonomi negeri Melaka, yang mana hasil keseimbangan antara keduanya bukan sahaja dapat manfaat kepada rakyat malah dalam pada sama persediaan kerajaan negeri untuk memulihkan ekonomi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, pakej diumumkan itu adalah strategi kerajaan untuk membuat persediaan awal ke arah memulihkan ekonomi negeri apabila sampai masanya selepas kerajaan Persekutuan mengumumkan pembukaan semula sektor ekonomi menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Pakej bersama ini turut memastikan apa yang disebut Ketua Menteri itu berasaskan prinsip ‘no one left behind’ iaitu memastikan tidak ada golongan mahupun rakyat terpinggir, maknanya semuanya dibantu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

863
Kongsi :
Previous post Syarat pembiayaan SPIN dilonggarkan, bantu usahawan informal
Next post Keputusan STPM diumum 1 Julai ini
Ubah saiz-+=