
MELAKA ARKITEK INOVASI EKONOMI HIJAU, PENERAJU ‘GREEN CHAMPION STATE’
BANDA HILIR 21 September – Melaka dianggap sebagai se buah negeri yang bukan sahaja tersohor dengan warisan tamadun, tetapi sedang memecut laju menerusi agenda pembangunan mampan dan transformasi hijau yang sangat mengagumkan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, di bawah nakhoda kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Ab Rauf Yusoh, menyaksikan bagaimana iltizam politik dan keberanian memacu perubahan telah menterjemahkan kelestarian kepada realiti.
Katanya, visi luhur untuk memposisikan Melaka sebagai ‘Green Champion State’ yang dipasak teguh ke dalam teras Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) adalah satu pencapaian yang patut dijadikan penanda aras oleh seluruh negara.
“Kita melihat bagaimana Melaka dengan berani mengemudi pelaburan berteraskan piawaian ESG (Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus). Melaka hari ini adalah arkitek kepada inovasi ekonomi hijau, merintis pembangunan ‘Sustainable Biomass Hub’, meluaskan penggunaan tenaga solar dan mentransformasi urus tadbir alam sekitar menggunakan teknologi pendigitalan melalui Smart Melaka Blueprint.
“Maka, sebagai menterjemahkan rasa bangga dan sokongan utuh Kerajaan Persekutuan, buat julung-julung kalinya pada penganjuran tahun ini, Anugerah Khas Hari Alam Sekitar Negara 2026 akan dianugerahkan kepada agensi-agensi di bawah payung Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2026 Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Yang turut hadir Penasihat Undang-undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; barisan Exco dan Timbalan Exco; Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin @ Mohd Zainuddin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar Malaysia Azuri Azizah Saedon serta kenamaan lain.
Menurut beliau pengiktirafan ini adalah lambang penghormatan atas komitmen cemerlang Melaka dan berharap langkah megah mencetuskan gelombang kesedaran diteladani oleh jentera agensi dan kerajaan negeri yang lain.
“Biarlah apabila kita melangkah keluar dari majlis ini nanti, setiap jiwa yang hadir membawa pulang satu tekad teguh bahawa di tangan kitalah terletaknya peranan untuk menyelamatkan kelestarian bumi tercinta ini.
“Sekali lagi, sekalung budi dan penghargaan dihulurkan buat Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Melaka atas kepimpinan hijau dan kesungguhan yang ditunjukkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


