Melaka bakal sedia kemudahan rawat serangan jantung di lokasi tumpuan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 17 Jan – Mesin Automated External Defibrillator (AED) perlu ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai bagi membantu menyelamatkan nyawa apabila diserang sakit jantung di tempat awam.

Exco Kesihatan Dr Muhamad Akmal Salleh berkata mesin berkenaan boleh diletakkan di mana-mana kawasan tanpa perlu menggunakan sumber elektrik dan mudah digunakan sesiapa sahaja.

“Ramai yang tidak sedar bahawa kita mungkin boleh menyelamatkan nyawa seseorang yang kena serangan jantung di tempat awam dengan cara rawatan bantuan pernafasan (CPR) yang betul dan menggunakan mesin AED.

“Tetapi kadang-kadang disebabkan kita tidak dilatih untuk CPR dan menggunakan mesin AED ini menjadikan individu yang diserang serangan jantung lewat mendapatkan rawatan sementara menunggu ambulans dan kemungkinan besar akan kehilangan nyawa.

“Insya-Allah di Melaka, kita bercadang untuk menempatkan mesin AED ini di tempat tumpuan orang ramai seperti shopping complex (pusat beli-belah), masjid, tokong, tempat rekreasi dan banyak lagi,” katanya.

DR Akmal memeriksa mesin AED sambil diterangkan oleh Dr Luah. Foto Facebook Dr Akmal

Mengulas lanjut, Akmal berkata pihaknya akan memperhebatkan latihan teknik CPR dan penggunaan AED dalam kalangan rakyat Melaka supaya semua masyarakat mampu menyelamatkan nyawa apabila diperlukan.

“Semua ini memerlukan sokongan dari pihak kerajaan negeri, swasta, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semestinya sokongan dari rakyat Melaka.

“Terima kasih Dr Luah Konsultan Anaesthetist Hospital Pulau Pinang kerana sudi berkongsi idea dan cadangan untuk kami bawa di Melaka.

“Kini semua dari kita boleh menjadi superhero untuk menyelamatkan nyawa orang ramai dan mana tahu satu hari nanti nyawa kita pula diselamatkan oleh orang ramai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1298
Kongsi :
Previous post Pesara guru wanita rugi RM100,000 terpedaya ‘Macau Scam’
Next post Melaka Rumahku bantu lima beranak diami rumah lebih selesa
Ubah saiz-+=