Melaka Bebas Berniaga dijenamakan kepada Melaka Mesra Berniaga

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERI NEGERI 16 Mac – Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif Melaka Mesra Berniaga bagi menggantikan Melaka Bebas Berniaga yang tamat tahun lalu selepas diperkenalkan pada 2020.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan berkata, penjenamaan semula inisiatif baharu itu dilakukan bagi memastikan lebih ramai peniaga dan penjaja berdaftar di negeri ini.

Beliau berkata menerusi inisiatif itu, penjaja kecil hanya perlu berdaftar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di pentadbiran masing masing dan dikecualikan daripada mendaftar lesen bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Kerajaan Negeri akan buat permohohan kepada pihak SSM supaya memberi kelonggaran kepada penjaja kecil yang tidak mempunyai premis tetap dikecualikan daripada syarat ini.

“Bagaimanapun syarat lain seperti suntikan typhoid dan pendaftaran perniagaan bersama PBT serta pelbagai syarat lain masih diteruskan.

“Menerusi inisiatif ini kita mahu memastikan peniaga dan penjaja kecil di Melaka didaftar dan dilesenkan dengan lesen sementara dan diletakkan di zon dan lokasi bersesuaian agar ia lebih terancang dan strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Tuminah Kadi (BN-Pantai Kundor) pada hari keempat Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15, di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, menerusi inisiatif Melaka Bebas Berniaga sebelum ini, seramai 1,340 peniaga telah berdaftar dan menerima manfaat mengembangkan semula ekonomi mereka selepas terjejas pandemik COVID-19.

Beliau berkata, inisiatif sepanjang dua tahun itu sekali gus telah membuka lebih banyak lokasi perniagaan kecil di Melaka seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri menerusi Pelan Melakaku Strategik Maju Jaya (PSMJ) 2035.

“Seramai 1,340 peniaga berdaftar di negeri ini telah didaftarkan di bawah PBT masing-masing di mana dengan pecahan sebanyak 497 peniaga di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), 294 di bawah Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), 392 di Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan 157 orang di bawah Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3555
Kongsi :
Previous post Melaka mahu lahirkan lebih ramai pelapis celik al-Quran
Next post Pencarum Perkeso bekerja sendiri sangat rendah
Ubah saiz-+=