
MELAKA BILA LARUT MALAM PEMANGKIN EKONOMI, BUKAN SEKADAR HIBURAN
AYER KEROH 7 Mei – Bermula dengan edisi pertama pada Jun 2024, program Melaka Bila Larut Malam hasil cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bukan sahaja semakin disenangi, sebalik diakui menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Melaka Bila Larut Malam, secara tidak langsung membantu pemulihan sektor pelancongan Negeri Melaka yang turut terkesan susulan pandemik COVID-19 melanda dunia.
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif itu kini menjadi nadi penggerak ekonomi negeri apabila membawa limpahan rahmat kepada ramai peniaga.
Jelas beliau, perkara itu dibuktikan apabila secara purata seramai 30,000 pengunjung dan pelancong hadir bagi bersama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti disusun atau memanfaatkan tawaran istimewa oleh Kerajaan Negeri setiap kali program itu dilaksanakan pada Sabtu pertama setiap bulan.
Shadan berkata, Melaka Bila Larut Malam bukan hiburan semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai pemangkin ekonomi, menyatukan komuniti dan memberi peluang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan tambahan.
“Pandangan saya sebagai Datuk Bandar, masyarakat perlu buka fikiran dan minda. Jangan hanya lihat pelaksanaan program ini daripada satu sisi sahaja. Hiburan itu cuma selingan, tetapi sebenarnya ia memberi kesan besar kepada masyarakat setempat, terutama penjaja kecil.
“Saya akui ramai peniaga minta tambah masa dan hari operasi, tetapi kita kena lihat juga aspek penyuraian trafik serta perkara-perkara lain. Jadi, kita tetapkan satu waktu sahaja supaya semua jelas dan urusan berjalan lancar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Susulan itu Shadan berharap masyarakat agar tidak hanya melihat Program Melaka Bila Larut Malam daripada sudut hiburan semata-mata.
Menurutnya, peniaga yang ditemui juga memberikan maklum balas amat baik dan meluahkan rasa syukur kerana pelaksanaan Melaka Bila Larut Malam amat membantu dalam meningkatkan lagi pendapatan mereka.
“Tarikan popular seperti ‘Melaka River Cruise’ dan Menara Taming Sari turut merekodkan lonjakan pendapatan sepanjang hujung minggu. Tempiasnya juga dinikmati peniaga dan penjaja kecil sekitar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.