Melaka bubar DUN, kemelut politik memaksa pilihan raya negeri

Masa Membaca:2 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 5 Okt – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan hari ini, membuka jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ekoran kemelut politik berikutan empat wakil rakyat kerajaan menarik sokongan.

Suhu politik di negeri bersejarah ini melonjak naik minggu ini selepas bekas ketua menteri Datuk Seri Utama Idris Haron dan tiga orang lagi penyokongnya membuat keputusan mengejut untuk tidak percaya lagi kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberitahu sidang akhbar bahawa Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam telah menandatangani Proklamasi Pembubaran DUN berkuatkuasa hari ini.

Ini sekali gus menafikan usaha kumpulan pro-Idris untuk mengambil alih kerajaan negeri berdasarkan dakwaan bahawa mereka mempunyai majoriti mudah di DUN yang mempunyai 28 kerusi. Kumpulan pro-Idris mendakwa mereka menguasai 15 daripada 28 kerusi DUN.

Rauf berkata kini terpulang kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh pilihan raya.

“Tun Seri Setia Mohd Ali telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas pada 4 Oktober 2021,” kata Rauf.

“Proklamasi Pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas akan diwartakan pada hari ini (5 Okt),” katanya.

Rauf dijangka mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Melaka malam ini bagi membincangkan persiapan PRN dan juga untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh Idris terhadap beliau dan UMNO.

Ketika ditanya mengenai reaksi beliau tentang pembubaran dewan, Idris berkata beliau mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat.

Katanya, beliau akur dengan keputusan pembubaran DUN tersebut dan bersedia untuk hadapi PRN nanti.

Dalam sidang akhbar sebelum pengumuman tersebut, Idris yang juga ADUN Sungai Udang mengkritik keras Rauf yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, yang kononnya mencampuri pentadbiran kerajaan negeri di bawah Sulaiman.

“Saya ingin menjawab dakwaan kononnya saya mempunyai masalah dengan Sulaiman. Saya jelaskan di sini saya dengan beliau baik-baik sahaja dan saya tak ada sebarang isu peribadi dengan Sulaiman kerana beliau seorang pemimpin yang baik.

“Sebaliknya saya dan tiga ADUN lain membuat keputusan ini kerana tiada kesepakatan dalam pengurusan pentadbiran kerana adanya campur tangan pihak luar. Mana boleh ada ‘dua singa dalam satu gunung’,” katanya.

ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee yang turut keluar daripada kerajaan menyifatkan tindakannya adalah demi perjuangan rakyat.

“(Kalau) dulu (saya) barua (DAP), sekarang bermaruah. Kita membakar diri untuk rakyat. Berjuang untuk rakyat,” jelasnya.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Melaka, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen memberitahu, keahlian ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad tergugur secara automatik dalam BERSATU susulan tindakannya menyokong pembangkang.

“Dalam Perlembagaan parti menetapkan tidak akan menjalin hubungan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan tindakan beliau bersama PH, keahlian beliau gugur secara automatik.

“Bukan parti mengambil tindakan memecat beliau, sebaliknya keputusan itu (keahlian gugur automatik) adalah disebabkan oleh tindakan dirinya sendiri,” katanya pada sidang media Perikatan Nasional (PN) di sebuah hotel di Ayer Keroh hari ini.

Rafiq turut menyatakan, PN sedia berunding dengan UMNO bagi menghadapi PRN yang akan ditentukan dalam masa terdekat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu (2018), Barisan Nasional (BN) catat sejarah selepas tewas kepada Pakatan Harapan (PH) buat kali pertama di Melaka, namun pada Mac tahun lepas, Melaka diterajui PN yang disertai ADUN UMNO, BERSATU dan Bebas dengan majoriti 17 daripada 28 kerusi DUN.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

854
Kongsi :
Previous post DUN bubar, pentadbiran negeri berjalan seperti biasa
Next post SPR terima notis rasmi pembubaran DUN Melaka
Ubah saiz-+=