Melaka cadang syaratkan peniaga daftar sebagai penerima vaksin

Masa Membaca:57 Saat

AYER KEROH 11 Mac – Melaka bercadang mensyaratkan peniaga yang ingin memperbaharui atau memohon lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu  berdaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Mingguan Exco yang dipengerusikannya semalam.

“Untuk peniaga yang mahu memperbaharui lesen perniagaan dan juga yang baru membuat permohonan, semalam (mesyuarat) dah putuskan cadangan meletakkan syarat vaksinasi COVID-19 dalam pengeluaran lesen perniagaan oleh PBT.

“Kaedahnya PBT bolehlah membantu,” katanya pada sidang media khas di Seri Negeri di sini hari ini.

Terdahulu, Sulaiman memberitahu Unit Kerajaan Tempatan (UKT), Jabatan Ketua Menteri Melaka sedang mengkaji cadangan untuk meletakkan syarat vaksinasi COVID-19 dalam pengeluaran lesen perniagaan oleh PBT pada masa hadapan.

Sehingga semalam, seramai 170,734 rakyat negeri ini sudah mendaftar untuk menerima vaksin virus COVID-19 melalui MySejahtera di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Angka itu adalah 24 peratus daripada kira-kira 701,000 penduduk Melaka berusia 18 tahun dan ke atas yang layak untuk menerima vaksin tersebut berbanding keseluruhan penduduk negeri yang dianggarkan berjumlah 970,000 orang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post Dua pelajar ‘carut guru’ mengaku salah
Next post Hubungan kerjasama KL-Abu Dhabi tanpa batas- PM Muhyiddin
Ubah saiz-+=